Pahang Rangers jalin kerjasama dengan Levante UD

0
247

CYBERJAYA – Pasukan Futsal Pahang Rangers hari ini menjalinkan kerjasama dengan kelab terkemuka Sepanyol, Levante UD bagi meningkatkan mutu permainan pasukan berkenaan.

Presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fadh Mu’adzam Shah berkata, kerjasama itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU).

Katanya, MoU itu bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pasukan selain memperbaiki persembahan skuad Pahang Rangers dalam usaha menjadi sebuah kelab terkemuka di Asean dan Asia.

“Melalui kerjasama ini, kita juga dapat menghantar pemain dan jurulatih ke Sepanyol untuk menjalani sesi latihan bersama mereka selain membawa jurulatih kelab itu ke sini.

“Kami juga akan aturkan beberapa siri perlawanan persahabatan membabitkan pasukan Levante dengan kelab-kelab di Malaysia dan juga skuad kebangsaan.

“Kami amat bertuah bila Levante bersetuju untuk jalinkan kerjasama, peluang terbaik ini tidak akan disia-siakan untuk kami menjadi pasukan yang lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menandatangani MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif Levante, Francisco Javier Catalan Vena di sini hari ini.

Sementara itu katanya, Pahang Rangers juga akan menjalin kerjasama dengan kelab futsal Chonburi Blue Wave yang terkenal di Thailand mulai Februari ini.

“Pahang Rangers sudah menghantar dua pemain untuk berlatih selama empat minggu bersama kelab itu tahun lepas dan diharapkan kerjasama lebih erat akan terjalin selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, pemain Pahang Rangers, Mohd. Khairul Effendi berkata, beliau teruja dengan kerjasama itu dan berharap akan terpilih untuk menjalani latihan di Sepanyol nanti.

“Kerjasama ini membuka peluang kepada pemain untuk melihat corak permainan, taktikal dan latihan di luar negara, Sepanyol antara pasukan futsal terbaik dunia. Peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin.

“Kita kena ambil peluang, mereka ada kelebihan dalam aspek taktikal dan kawalan bola yang baik. Saya rasa, kerjasama ini juga memberi kelebihan untuk pasukan futsal negara,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here