
CYBERJAYA 3 Jan. -Kempen Buy Muslim First (BMF) terus mendapat sambutan apabila syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd., turut sama menjayakan usaha itu bagi menjayakannya supaya ia berterusan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Prasarana Kempen BMF Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohd. Nor Izzat Johari ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Datuk Lokman Hakim Pfordten di Putrajaya semalam.
Menurut Mohd. Nor, dalam perbincangan itu, tiga perkara penting disampaikan kepada Lokman tentang tindakan dan kekuatan BMF bagi tahun ini dan akan datang.
“Perbincangan selama empat jam itu berjalan baik yang meliputi pelbagai sudut dan faktor serta pengisian kerohanian yang dikongsi oleh beliau bersama kami.
“Beliau telah bersetuju untuk terus bersama dalam Kempen BMF yang disifatkan gerakkan umat Islam dan akan sentiasa membuat tambah nilai bagi menjayakan kempen ini supaya berterusan,” katanya menerusi status akaun Facebook miliknya hari ini.
GISB mempunyai pelbagai jenis perniagaan termasuk pasar raya dan mini Ikhwan yang memiliki 38 rangkaian seluruh Malaysia tidak termasuk rangkaian di 16 negara lain.
Tambah Mohd. Nor, tiga perkara penting yang dibincangkan bersama dengan tokoh perniagaan itu adalah mempertingkatkan pengeluaran produk seperti bebola ikan dan bebola daging serta lain-lain yang sukar berada dalam pasaran.
Katanya, selain itu membuka peluang produk Muslim untuk masuk dan dijual dalam rangkaian Ikhwan Mart dan Pasar raya Ikhwan.
“Perkara terakhir ialah menambah cawangan pasar mini dan pasar raya Ikhwan dalam memperkasakan produk Muslim,” ujarnya.
Menurutnya, tokoh perniagaan memaklumkan akan turut sama menjayakan kempen BMF jika pengguna, pengeluar, penyedia perkhidmatan dan pekedai dapat bekerjasama bersama. – #malakattribune