Pemilik stesen minyak tular tampil bantu siasatan

0
110

JOHOR BAHRU 6 Jan – Pemilik stesen minyak yang terpalit dengan isu membenarkan kenderaan asing mengisi minyak petrol RON95, telah hadir ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor di sini, semalam, bagi membantu siasatan.

Ia susulan arahan KPDNHEP Johor yang meminta lelaki berusia 50-an itu hadir ke pejabat untuk merekodkan percakapan bagi membantu siasatan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan.

“Jika sabit kesalahan, individu itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi hukuman terhadap syarikat pula, denda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan kedua dan berikutnya denda tidak melebihi RM5 juta akan dikenakan,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama hari ini.

Menurut KPDNHEP, insiden itu dilaporkan orang ramai kepada pihaknya pada Khamis lepas, berikutan itu, satu pemeriksaan telah dibuat oleh pegawai penguat kuasa di stesen berkenaan, pada hari berikutnya.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati lelaki yang mengisi minyak petrol RON95 pada kenderaan asing itu dipercayai menggunakan sistem kad kredit layan diri di pam untuk mengisi minyak pada hari itu,” katanya.

KPDNHEP akan terus memantau dan bekerjasama dengan syarikat pengeluar minyak agar peruncit-peruncit stesen minyak lebih peka sekiranya kenderaan asing datang ke stesen mereka selain memastikan kejadian itu tidak berulang.

Sebuah rakaman klip video yang memaparkan lelaki terbabit mengisi minyak petrol RON95 pada kenderaan dengan nombor pendaftaran asing di sebuah stesen minyak di Johor Bahru, tular di laman sosial, dipercayai berlaku pada 2 Jan lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here