
CYBERJAYA 1Jan. – Penjaga gol Ajax Amsterdam, Andre Onana mendakwa peluangnya untuk mewakili kelab lain adalah rendah kerana dia ‘berkulit hitam’.
Memetik laporan akhbar bola sepak Marca, Onana, 24, berkata, walaupun ada kelab Eropah lain yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya, namun mereka membatalkan hasrat tersebut di atas alasan ‘peminat tidak dapat menerimanya’.
“Mereka berkata, para peminat agak sukar untuk menerima kehadiran seorang penjaga gol berkulit hitam.
“Mereka membatalkan hasrat bukan kerana prestasi saya, namun sebab faktor lain,” kata Onana yang sehingga kini sudah 15 kali mewakili Cameroon di peringkat senior.
Onana telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia apabila beliau berjaya membantu Ajax, yang pada awalnya dilabel sebagai pasukan ‘underdog’, untuk mara sehingga ke pusingan separuh akhir Liga Juara-juara Eropah sebelum tewas kepada Tottenham Hotspur angkara peraturan gol di tempat lawan.
Namun, ‘saham’ Onana dilihat agak kurang menyerlah berbanding rakan sepasukan seperti Matthijs de Ligt yang kini mewakili Juventus, Frenkie de Jong (Barcelona) dan Donny van de Beek, walaupun dianggap sebagai salah seorang pemain muda yang sedang meningkat naik.
“Bukannya mudah untuk seorang penjaga gol berkulit hitam untuk mencapai tahap yang tertinggi,” kata Onana lagi. – #MalakatTribune