Pendaftaran Tadika Rakyat masih dibuka

0
268

PUCHONG 6 Jan.- Pendaftaran untuk memasuki Tadika Rakyat masih dibuka dan ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak boleh menghubungi pihak pengurusan.

Pengurus Operasi Tadika Rakyat, Rozita Kamil berkata, secara rasmi setakat ini sebanyak 45 orang murid berumur empat hingga enam tahun telah mendaftar di Tadika Rakyat.

Beliau berkata, hari ini merupakan hari pertama secara rasminya Tadika Rakyat dibuka, sebelum ini pihak pengurusan mengadakan sesi orientasi selama dua hari untuk suai kenal.

“Tadika Rakyat membuka tempat kepada 75 orang murid untuk sesi pagi dan dalam masa yang sama kita juga ada menawarkan transit dan jagaan harian sehingga petang.

“Hari pertama bermula dengan baik, ibu bapa meninggalkan anak-anak dengan penuh keyakinan kepada kami di sini,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune di sini hari ini.

Menurut Rozita, sesi di Tadika Rakyat cawangan pertama di Putra Perdana ini dikendalikan oleh empat orang guru yang mempunyai pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Katanya, Tadika Rakyat adalah inisiatif Brainy Bunch bagi memastikan anak-anak dari kumpulan B40 mendapat pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik pada harga mampu milik.

“Inisiatif ini amat bermanfaat dan membuka peluang kepada keluarga B40 untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka di peringkat pra sekolah lagi.

“Fokus utama modul Tadika Rakyat ialah menekankan agar kanak-kanak mencintai solat, santun beradab dan yakin berbahasa Inggeris,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya menyasarkan untuk membuka 100 Tadika Rakyat di seluruh negara dalam masa terdekat dan pengusaha yang berminat boleh menghubungi pihak pengurusan.

Sebarang pertanyaan dan urusan pendaftaran boleh dilakukan di website www.TadikaRakyat.page.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here