Pengakap Malaysia anjur Sambutan 100 Tahun Latihan Pengakap Sedunia

0
321

CYBERJAYA 8 Dis. – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melalui Pasukan Latihan Negeri WPKL menganjurkan majlis Indaba dan Sambutan 100 Tahun Latihan Pengakap Sedunia Peringkat WPKL di SMK Victoria (Victora Institution) dekat sini hari ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazily Ismail Bakti.

Majlis ini diadakan bagi menyambut ulang tahun ke-100 latihan kepimpinan pengakap dunia, yang pertama kali diadakan pada 1919 di Gilwell Park, London.

Latihan kepimpinan dalam pergerakan pengakap bertujuan menyediakan golongan dewasa dalam pengakap (adult in scouting) menjadi pemimpin pengakap yang berilmu, berkemahiran, serta mampu membentuk generasi muda-remaja yang berguna melalui aktiviti pengakap.

Di akhir siri latihan kepimpinan, pemimpin pengakap dianugerahkan dengan dua butir ‘manikayu’ sebagai pengiktirafan menjadi seorang pemimpin pengakap yang terlatih dan bertauliah.

Selain itu, majlis ini juga diadakan sebagai ‘Indaba’ iaitu perhimpunan atau perjumpaan pemimpin Pengakap.

Indaba menjadi medan para pemimpin pengakap untuk mengenali rakan baharu, saling berkongsi pengalaman, sekali gus memperolehi ilmu dan kemahiran baharu dalam usaha membentuk serta membangunkan pergerakan pengakap.

Selain pengalungan manikayu kepada pemimpin-pemimpin pengakap yang baru menamatkan siri latihan, turut diadakan di majlis ini ialah penyampaian anugerah khas iaitu Anugerah Bakti Sepanjang Zaman dan Anugerah Jasamu dikenang.

Selain dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 200 pemimpin pengakap, majlis ini turut dihadiri tetamu istimewa iaitu Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin yang merupakan mantan Pengerusi Majlis Pengakap Sedunia dan satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima pingat Bronx Wolf daripada Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM).

Terdahulu sebelum majlis itu berlangsung, telah diadakan `retreat’ Pasukan Latihan Negeri WPKL membabitkan barisan pemimpin dan jurulatih PPM WPKL. – #malakattribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here