BERANANG 8 Jan.- Sebanyak 167 pelajar Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch menjayakan aktiviti Khidmat Masyarakat di Kampung Kuala Pajam di sini sempena program Youth ADAB Reset.
Pelajar terlibat berkampung selama tujuh hari di Kem Eco Mellenium sejak 4 Januari lalu dan aktiviti berkenaan merupakan antara pengisian yang diterapkan dalam program itu.
Antara aktiviti dilakukan hari ini ialah mengutip sampah di sepanjang jalan kampung berkenaan, membersih kawasan masjid dan balai raya selain gotong-royong membersihkan tanah perkuburan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim berkata, aktiviti berkenaan membolehkan pelajar menimba pengalaman baharu selain dapat memberi manfaat kepada lapisan masyarakat.
“Hari ini merupakan hari keempat pelajar di kem Eco Mellenium, mereka telah menjalani pelbagai aktiviti dan hari ini pula khidmat masyarakat. Dahulu aktiviti ini modul Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).
“Dalam modul baharu di Brainy Bunch, Kita mewajibkan pelajar menghadiri program ADAB Reset selama tujuh hari. Ini kelainan yang kita bawa, biasanya program seperti ini dibuat pada akhir tahun,” katanya.
Menurut Mohd. Fadzil, para pelajar dilihat dapat belajar dengan lebih efektif melalui pengalaman dilalui dan aktiviti dilakukan diyakini memberi pendedahan berguna kepada mereka.
Mengulas keberkesanan program selepas empat hari dilaksanakan, Mohd. Fadzil berkata, hasil yang diperoleh oleh pelajar amat efektif dan ia tidak sama walaupun berada 100 hari di dalam kelas harian biasa.
“Kita adakan pelbagai aktiviti termasuk sesi terangkan hati pada waktu malam, ada yang menangis dan sebagainya. Kita sudah betulkan minda mereka, maka lebih senang untuk sesi pembelajaran nanti.
“Malam esok kita ada program berkhemah di dalam hutan, mereka akan praktikkan bagaimana cara membaca peta melalui kompas. Apa yang kita anjurkan ini sangat memberi manfaat,” katanya.
Sementara itu seorang pelajar, Nornasuha Putri Yusran Shah, 15, berkata, dia sangat gembira menyertai Youth ADAB Reset kerana dapat menimba pengalaman berguna bersama rakan-rakannya.
“Saya sebenarnya tidak biasa keluar rumah kerana rapat dengan ibu. Pada mulanya agak susah bila hadir ke program ini tetapi, bila sudah lama seronok dapat pengalaman baharu selain dapat jumpa kawan,” katanya.
Dalam pada itu, Harith Amsyar Shahrul Fitri, 15, berkata, dia teruja dapat melakukan aktiviti khidmat masyarakat pada hari ini kerana memberi manfaat kepada masyarakat setempat.-MT