Penjawat awam tinggalkan kerjaya jadi penternak arnab

0
418

CYBERJAYA 6 Jan.- Demi minat dan impian untuk berjaya dalam bidang penternakan arnab pedaging, seorang pemuda sanggup melepaskan jawatannya dalam perkhidmatan awam yang sudah terjamin pendapatan setiap bulan.

Selepas lima tahun mencurahkan sepenuh komitmen menjadi usahawan muda, Muhamad Rizal Adha, 26, mampu berbangga dengan pencapaian diri dalam bidang diterokainya itu.

Memetik laporan Berita Harian, Muhamad Rizal yang menetap di Kampung Tok Machang, Ulu Gali di Raub, Pahang hanya bermula dengan memiliki beberapa arnab hiasan.

Dan ketika ini katanya, beliau sudah menternak lebih 500 arnab pedaging jenis New Zealand White.

“Menternak arnab pedaging sangat mudah dan tidak memerlukan modal serta perbelanjaan makanan yang terlalu besar berbanding ternakan lain seperti ayam, itik dan kambing.

“Malah, keuntungan hasil jualan daging segar adalah memuaskan. Ketika ini, boleh dikatakan permintaan daging arnab segar begitu menggalakkan tetapi setiap bulan, saya hanya mampu membekalkan antara 200 hingga 250 kilogram.

“Walaupun dijual pada harga RM35 sekilogram, pasaran daging arnab sentiasa mendapat permintaan tinggi sehingga bekalan tidak mencukupi,” katanya.

Muhamad Rizal yang pernah bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia memaklumkan, kos makanan ternakan bagi seekor arnab pedaging ialah antara RM13 hingga RM19 apabila mencapai usia matang untuk disembelih.

Katanya, hanya arnab pedaging yang mencapai berat dua kilogram ke atas akan disembelih dan semua proses dilakukan sendiri dengan bantuan dua pekerja

Beliau yang memiliki Diploma Ukur Bahan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak, berkata, arnab mampu melahirkan anak antara tujuh hingga lapan kali setahun dengan setiap kali membabitkan enam hingga 12 anak.

“Saya mampu meraih pendapatan bersih antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan daging arnab secara terus dan dalam talian. Ada lebih 15 pelanggan tetap yang memerlukan bekalan setiap bulan.

“Selain untuk menghasilkan sate dan beberapa jenis hidangan lain, daging arnab juga dijadikan makanan kucing baka import oleh pemilik haiwan berkenaan.

“Saya yakin industri penternakan arnab pedaging ada masa depan begitu cerah,” katanya yang juga merupakan bekas atlet silat olahraga Sukan Malaysia (SUKMA).

Selain menternak arnab pedaging, bapa kepada empat cahaya mata itu turut menjadi pembekal sangkar arnab yang diimport dari China selain menjadi pemborong getah beku sekitar Raub.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here