
JAKARTA 2 Jan. – Indonesia menolak jemputan China untuk mengadakan dialog bagi ‘menguruskan pertikaian’ mengenai zon ekonomi eksklusif (EEZ) Indonesia di Laut Natuna Utara, sebaliknya berhujah bahawa tidak terdapat pertindihan tuntutan di kawasan itu.
Susulan pendedahan mengenai gelombang kegiatan haram oleh pengawal pantai dan kapal nelayan China di perairan Natuna minggu lalu, Indonesia memanggil Duta China ke negara itu, Xiao Qian, untuk membuat bantahan rasmi, mengikut laporan Agensi Berita Vietnam (VNA).
Kementerian Luar Indonesia berkata, ia tidak akan mengiktiraf ‘Nine-dash Line’ China, yang menjadi gambaran geografi tuntutan menyeluruh China di Laut Timur, kerana bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Indonesia semalam memberi maklum balas yang tegas dengan menolak tuntutan itu.
Kementerian itu berkata tuntutan China adalah ‘unilateral’, tidak mempunyai asas perundangan dan tidak pernah diiktiraf oleh UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut) 1982, lapor Jakarta Post.
Menurut akhbar itu, Agensi Keselamatan Maritim Indonesia (BAKAMLA) mencatatkan bahawa bagi tempoh 19 hingga 24 Disember, sekurang-kurangnya 63 kapal nelayan dan pengawal pantai China memasuki perairan Natuna.