
KUALA LUMPUR – Pemegang tiket Malindo Air bagi penerbangan masuk atau keluar Australia yang dikeluarkan pada atau 7 Januari lalu diberi pilihan menukar tarikh perjalanan mereka ekoran fenomena kebakaran hutan di negara berkenaan.
Malindo Air dalam kenyataan hari ini berkata, pertukaran itu boleh dilakukan oleh penumpang yang melakukan perjalanan dari dan ke Sydney, Perth, Melbourne, Adelaide dan Brisbane.
Bagaimanapun penumpang hanya boleh menukar tarikh penerbangan tetapi bukan destinasi yang juga tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Tarikh perjalanan baharu itu tidak boleh melebihi enam bulan dari tarikh pelepasan asal, dan semua butiran mengenai tiket asal tersebut harus ditunjukkan pada tiket baharu, termasuk tambang asas dan pengiraan tambang.
Malindo Air berkata, perbezaan tambang dan fi pertukaran akan dikecualikan dan semua perubahan harus dilakukan sebelum tarikh pelepasan.
Syarikat penerbangan itu telah mengeluarkan nasihat perjalanan berikutan kebakaran hutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang terus memusnahkan bahagian tenggara Australia.
Pelancong boleh mengikuti perkembangan terkini cuaca untuk semua bahagian di Australia, termasuk amaran kebakaran, menerusi laman web Biro Meteorologi Australia di http://www.bom.gov.au/
Selain itu, penumpang boleh menghubungi pusat panggilan Malindo Air di + 603-7841 5388 atau melawat kaunter tiket syarikat penerbangan tersebut untuk jadual terbaharu. – MT