
CYBERJAYA – Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan lebuh raya milik konsesi itu akan menikmati pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi kenderaan persendirian bermula 1 Februari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan pengumuman yang dibuat dalam Pembentangan Belanjawan 2020.
“Lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya PLUS termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (Linkedua).
“Turut terlibat Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP),” katanya.
Menurut kenyataan itu, sejajar dengan keputusan berkenaan tempoh konsesi di kesemua lebuh raya PLUS dilanjutkan selama 20 tahun dari tahun 2038 ke 2058.
“Ini bagi memastikan PLUS mampu meneruskan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya mereka tanpa bergantung kepada kerajaan,” katanya.
Katanya, walaupun sebelum ini perjanjian konsesi memperuntukkan kenaikan kadar tol secara berperingkat, keputusan terbaharu ini akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat selama 38 tahun (2020-2058).
“Tiada sebarang bayaran akan dibuat kerajaan kepada PLUS sebagai timbal balas berikutan pengurangan kadar tol tersebut.
“Kerajaan tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS di mana ia bakal menjimatkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi tersebut,” katanya.
Dalam pada itu Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pemegang saham PLUS.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan kajian lebih setahun dan pertimbangan menyeluruh pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Jemaah Menteri telah menyemak dan menimbang pelbagai cadangan yang dikemukakan agar dapat membuat keputusan terbaik untuk semua pihak terutamanya rakyat.
“Kerajaan yakin keputusan ini akan memberi banyak manfaat melalui pengurangan beban kadar tol dan dalam masa yang sama membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik.
“Penjimatan RM42 billion kini boleh digunakan oleh kerajaan untuk inisiatif yang menguntungkan Rakyat,” katanya.
Khazanah yang juga dana kekayaan negara memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS menerusi anak syarikatnya UEM Group Bhd., manakala baki 49 peratus dimiliki oleh KWSP.-MT