Produk ‘homemade’ boleh dapat sijil halal

0
610

RAUDHAH CITY – Berita gembira untuk peniaga kecil apabila mereka boleh memohon sijil halal walaupun hanya menghasilkan produk secara kecilan atau ‘homemade’.

Ketua Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDC), Datuk Seri Dr. Ahmad Khusairi berkata, sijil halal itu dikeluarkan selepas mendapat kelulusan dan penilaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, sebelum ini ramai usahawan beranggapan sijil halal hanya dikeluarkan kepada mereka yang telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) tertentu termasuk mempunyai kilang sendiri.

“Sebenarnya produk ‘homemade’ juga boleh mendapatkan sijil halal, baru-baru ini usahawan kek yang dibantu oleh MEDC telah mendapat sijil halal Jakim walaupun dia hanya membuatnya dirumah sahaja.

“Para usahawan kena ‘panjat’ sendiri ke Jakim tanya kaedah untuk dapatkan sijil halal ini, tunjuk kepada mereka segala proses dan ikut segala SOP. Selepas itu mereka (Jakim) akan buat penilaian.

“Jika ada usahawan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut saya akan berbincang untuk bawa wakil Jakim di satu tempat untuk beri penerangan. Kita akan maklumkan nanti,” katanya.

Terdahulu, beliau telah menghadiri Mesyuarat Himpunan Pemilik Kedai Muslim, Pelabur Baharu dan Pemilik Produk Muslim Siri Pertama di Kompleks Pendidikan Brainy Bunch di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Ahmad yang mewakili MEDC menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim bagi membimbing usahawan di pusat beli belah itu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bantuan yang diberikan oleh MEDC kepada para usahawan bukan melalui suntikan modal semata-mata kerana pelbagai aspek lain perlu diberikan penekanan.

Katanya, aspek penyusunan syarikat amat penting bagi usahawan dan mereka perlu mahir dalam semua aspek berkenaan untuk memajukan perniagaan masing-masing sehingga berjaya.

“Saya tengok ramai usahawan yang perlukan modal dan soalan ini yang selalu ditanya. Mereka ada semangat tetapi, penyusunan syarikat pun mereka tidak tahu malah profil syarikat juga tiada.

“Usahawan ini pandai membuat jualan dan pemasaran tetapi, perbelanjaan mereka tidak dibuat secara sistematik. Sebab itu bila buat permohonan pinjaman dan geran tidak lepas,” katanya.

Oleh sebab itu katanya, usahawan perlu ‘kembali kepada asa perniagaan dan MEDC membuat sektor pendidikan untuk membantu mereka terutamanya dalam perancangan membangunkan perniagaan masing-masing.

“Untuk pinjaman modal kita perlukan kelayakan tertentu sebelum layak meminjam antara RM10,000 hingga RM50,000. Para usahawan kena ikut SOP yang telah ditetapkan, kita tidak ubah polisi dan ikut pendidikan awalan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here