CYBERJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS menjalankan pemeriksaan ketat di semua pintu masuk negara ketika ini, bagi memeriksa produk makanan import dari China.
Memetik agensi berita Bernama, Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, walaupun Malaysia tidak mengimport sebarang produk makanan dari Wuhan, China, yang dikaitkan dengan penularan wabak 2019 novel coronavirus di negara itu, dan tidak ada fakta menunjukkan berlakunya penularan wabak melalui makanan, namun kawalan keselamatan dan pemeriksaan perlu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Saya dimaklumkan bahawa virus ini merupakan ‘human transmission’ tidak melibatkan bahan makanan tetapi saya telah arahkan MAQIS buat pemeriksaan di semua pintu masuk. Paling tidak bermula hari ini mereka boleh buat pemeriksaan secara rambang dahulu dengan memilih produk tertentu seperti daging atau buah-buahan,” katanya selepas hadir majlis Kerjasama Strategik Petronas dan Agrobank: Program Memperkasakan B40, di sini, hari ini.
Kerjasama itu membabitkan pelaburan pembiayaan RM100 juta yang diperuntukkan oleh syarikat minyak dan gas berkenaan, yang akan disalurkan dalam tempoh lima tahun dan diuruskan oleh program kemudahan pembiayaan mikro B40 Agrobank.
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Presiden dan CEO Agrobank Khadijah Iskandar.
Salahuddin berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan jangkitan coronavirus dan peka dengan situasi semasa.
Setakat ini, empat kes disahkan coronavirus yang dikesan di negara ini.