[VIDEO] Roti Canai Tsunami jadi fenomena

2
1298
Bekas kakitangan Utusan Melayu, Mohd. Turmadzi Madun dan isteri Khadijah Mohamad Nor (kanan) memulakan perniagaan roti canai di Warong Nora Corner, Jenderam Hilir selepas syarikat itu menamatkan operasi Oktober tahun lalu.
Roti canai tsunami jadi fenomena

PEMBERHENTIAN operasi syarikat akhbar tertua di negara ini, Utusan Melayu (M) Berhad pada 9 Oktober tahun lalu menyebabkan lebih 800 kakitangan hilang mata pencarian.

‘Dilepaskan’ tanpa sebarang pampasan dan dalam keadaan gaji masih tertunggak sebanyak tiga bulan, pelbagai ikhtiar hidup dilakukan oleh bekas kakitangan syarikat itu.

Pasangan Mohd Turmadzi Madun dan Khadijah Mohamad Nor merupakan antara yang paling terkesan akibat langkah penggulungan sukarela pemiutang yang diumumkan Pengerusi Eksekutif, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Dalam keredhaan mengharungi dugaan itu, pasangan bekas wartawan akhbar Kosmo! itu memilih untuk tidak menyerah kalah pada nasib yang menimpa.

Berbekalkan kemahiran menebar roti canai, Turmadzi memulakan langkah sebagai peniaga sarapan pagi di sebuah warong di Jenderam Hilir, Selangor.

Dibantu isteri, perniagaan yang dimulakan kira-kira empat bulan lalu di warong Nora Corner mendapat sambutan hangat dalam kalangan penduduk sekitar.

Malakat Tribune baru-baru ini berkunjung ke lokasi untuk mencuba beberapa menu yang sentiasa mendapat pujian pelanggan dan rakan-rakan bekas kakitangan Utusan.

Persinggahan penulis di Nora Corner ternyata berbaloi selepas menikmati sajian killer iaitu Roti Canai Tsunami yang ‘dibanjirkan’ dengan kari kambing bersama dua biji telur separuh masak.

Turut disajikan adalah Roti Milo, Roti Sardin, Roti Planta, Roti Bawang dan roti canai sejuk beku yang boleh dibeli dan tahan untuk simpanan selama beberapa bulan.

Di Nora Corner juga pelanggan boleh menikmati keenakan hidangan sarapan pagi seperti nasi lemak panas yang dihidang dengan pelbagai lauk, mee dan bihun goreng.

Turmadzi berkata, selain sambutan penduduk kampung, dia menerima sokongan yang cukup baik daripada rakan-rakan yang datang dari sekitar Lembah Klang dan Selangor.

“Alhamdulillah, rezeki melalui perniagaan yang diusahakan ini dapat menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Memang pada mulanya saya dan isteri bercadang untuk pulang ke kampung tapi syukur Allah membuka rezeki baharu tidak jauh dari rumah kami,” katanya yang sudah 15 tahun berkhidmat di akhbar Kosmo!

Bagaimanapun cabaran berniaga sendiri katanya jauh berbeza dengan bekerja makan gaji namun tetap menjanjikan keseronokan tersendiri.

“Ada masa pernaigaan kami tidak begitu baik ketika hari hujan. Tapi syukur kerana pada setiap hujung minggu, warong ini sentiasa penuh dengan pelanggan,” katanya.

Perniagaan pasangan itu dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 6.30 pagi hingga tengah hari.

“Kalau hujung minggu, kena datang awal sikit sebab roti canai habis cepat. Tapi untuk makan tengah hari, Kak Nora ada menyajikan nasi campur dengan pelbagai lauk,” tambahnya.

Untuk tempahan sila hubungi Mohd Turmadzi di talian 011-2115 0193 – MT

KHADIJAH MOHAMAD NOR menyediakan salah satu sajian kegemaran pelanggan di gerainya, Roti Canai Tsunami.
KAKITANGAN Nora Corner menyediakan hidangan sarapan pagi.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here