CYBERJAYA – Penubuhan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi di Kaherah, Mesir kira-kira lima tahun lalu bukan untuk mengkritik atau mempromosikan mana-mana pertubuhan tetapi bertujuan untuk meneruskan tradisi penyampaian ilmu kepada penuntut Universiti al-Azhar di dalam Masjid al-Azhar.

Menurut Timbalan Sheikh Ruwaq Jawi, Hairul Nizam Mat Husain, pada awalnya Ruwaq Jawi atau bermaksud tempat tinggal pelajar dari Nusantara di Masjid al-Azhar diwujudkan untuk menuntut ilmu dan sebagai tempat menyimpan khazanah ilmu buat al-Azhar.
Namun begitu, seiring perubahan masa Ruwaq Jawi dan ruwaq yang menempatkan pelajar dari negara lain tidak lagi berfungsi sebagai tempat tinggal pelajar dan hanya sebahagian ruwaq berfungsi sebagai kelas penyampaian ilmu.
“Atas kesedaran bahawa Ruwaq Jawi mampu mewujudkan suasana ilmiah dan melahirkan generasi yang cinta ilmu, lapan orang pelajar al-Azhar dari Malaysia iaitu ustaz Mohd. Nazrul Abdul Nasir, ustaz Hairul Nizam, ustaz Abu Bakar Razak, ustaz Khairul Abdan Baharuddin dan ustaz Mohammad Yaakub Yusro Yusuf.

“Bersama ustaz Ammar Mustaffa, ustaz Mohammad Faiz Zuhdi Azahar dan ustaz Anas Mansor telah bermesyuarat kali pertama di Hayyu Sabik, Kaherah pada 1 Mei 2015 untuk membincangkan penubuhan satu pusat pengajian yang akhirnya dinamakan Pusat Pengajian Ruwaq Jawi di bawah kelolaan Syeikh Ruwaq yang pertama iaitu Ustaz Mohd Nazrul,” katanya kepada Malakat Tribune.
Sebelum ini, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi moden secara tiba-tiba terkait dengan kontroversi apabila terdapat sebuah parti politik mendakwa pusat pengajian itu mengecam beberapa pimpinannya dan tokoh Islam seperti Sayyid Qutb dan lain-lain.
Mengulas lanjut, katanya, sistem pengajian yang diterapkan dalam pusat pengajian itu ialah dengan menerapkan sistem madrasah lama yang berkonsepkan pengajian kitab secara khusus kepada ulama secara terperinci dan tersusun mengikut susunan yang telas digariskan oleh ulama.

Pada masa sama, katanya, pusat pengajian tersebut turut mendapat perhatian kerajaan apabila ia dinaungi oleh Duta Besar Malaysia Kaherah, Hanif Abd. Rahman.
Menyentuh sejarah penubuhan ruwaq tersebut, Hairul Nizam berkata, Ruwaq Jawi telah wujud sebelum kedatangan Kiyai Haji Abdul Manan Dipomenggolo yang tiba di al-Azhar sekitar tahun 1860.
Namun begitu, katanya, terdapat beberapa sumber lain yang mencatatkan bahawa Ruwaq Jawi telah wujud lebih awal lagi iaitu pada tahun 1815.
Katanya, antara ulama terkenal Nusantara yang pernah tinggal di dalam Ruwaq Jawi ialah Kiyai Abdul Manan Dipomenggolo dari tanah Jawa yang merupakan murid kepada Syeikh Ibrahim al-Bajuri dan Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni yang tiba di Mesir pada tahun 1872.
Selain itu, katanya, Syeikh Ismail Abdul Muttolib dari Acheh yang menerima gelaran sebagai Syeikh Ruwaq Jawi paling terkenal ketika zamannya juga pernah berkhidmat di pusat pengajian itu.
“Tokoh lain ialah Syeikh Abdul Hamid Muhammad Ali Kudus dari Kudus, Jawa Tengah yang merupakan murid kepada Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni.
“Berkemungkinan besar beliau juga pernah tinggal di Ruwaq Jawi kerana beliau adalah di antara angkatan ulama Nusantara yang telah berangkat ke Mesir dari Makkah setelah Mesir didatangi oleh Syeikh Wan Ahmad al-Fatoni,” jelasnya.-MT