Sabah hentikan semua penerbangan ke Wuhan

0
108

KOTA KINABALU – Semua penerbangan dari Sabah ke Wuhan, China telah dihentikan berikutan wabak coronavirus (2019-nCoV) yang melanda wilayah berkenaan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.

Memetik agensi berita Bernama beliau berkata, setiap minggu terdapat 14 penerbangan ke Wuhan, China dan penerbangan itu akan beroperasi semula apabila wabak coronavirus dapat diselesaikan.

“Hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan dan penerbangan ke wilayah lain di China masih berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Ditanya sama ada wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pengunjung atau pelancong ke Sabah, Christina berkata, tidak dinafikan bahawa wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pelancong khususnya daripada China.

“Untuk tahun ini kita belum meletakkan sasaran kehadiran pelancong kerana kita telah menghadapi cabaran bermula awal tahun apabila adanya wabak coronavirus…dan saya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pelancongan Sabah mengenai perkara itu sebelum ia diumumkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak coronavirus, khususnya pemeriksaan kesihatan kepada individu yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Kita bukan sahaja membuat pemeriksaan kepada pelancong…kita juga buat pemeriksaan terhadap rakyat kita yang baru balik dari melancong. Kita tidak tahu dari mana mereka melancong, oleh itu mereka juga harus mendapatkan pemeriksaan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai beberapa hotel di Sabah telah mengeluarkan larangan memakai penutup mulut kepada pekerjanya untuk menjaga hati pelancong, Mohd Shafie berkata, pihaknya akan melihat perkara itu.

“Apa yang penting adalah menjaga di pintu masuk Sabah. Namun saya akan melihat isu ini dan saya yakin tidak semua hotel mengeluarkan arahan itu. Kita akan bekerjasama erat dengan kementerian kesihatan untuk membendung masalah ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here