TEO WEI SING
CYBERJAYA – Seorang guru meluahkan rasa kecewa melalui sajak berikutan tindakan segelintir warga maya yang tidak menghormati institusi diraja sehingga mengeluarkan kata-kata kesat.
Guru tersebut, Teo Wei Sing berkata, idea itu timbul secara spontan yang secara kebetulan beliau mempunyai kelebihan dalam bidang penulisan puisi.
Tambahnya, beliau kesal dengan sikap warga maya yang menghina Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menggelarkan ‘nenek rasis’ tanpa mengambil kira sumbangan baginda kepada masyarakat.
“Saya menegaskan juga dalam rencana terdahulu bahawa masing-masing mempunyai hak tetapi janganlah sampai menghina sesiapa.
“Idea spontan yang datang membolehkan saya menulis sajak sinis untuk menyedarkan masyarakat,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.
Tambah Wei Sing, sajak yang dihasilkannya itu dengan menonjolkan amal serta kebajikan yang pernah dilakukan baginda.
Berikut merupakan sajak yang dihasilkan guru Bahasa Melayu yang mengajar di sebuah sekolah di Kuantan, Pahang.
Kadang-kadang Tuanku Raja Permaisuri Agong Terlupa Nak Rasis
Ketika anda bertindak mengecam dan menghina KDYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj sebagai rasis, apakah anda memikirkan garis ukurnya di mana? Apakah anda waras dan rasional mengetahui definisi dan konsepnya?
Tunku Azizah rasis
Tunku Azizah Fertility Foundation yang diilhamkan baginda ‘hanya membantu semua kaum sahaja’ untuk menyambung zuriat setelah sekian lama berkahwin dan hampir putus harapan.
Tunku Azizah amat rasis
Akademi Menara Gading (AMG) tajaan Yayasan Istana Abdulaziz ‘hanya menaja’ kecemerlangan pendidikan untuk ‘pelajar pelbagai kaum’ di Pahang, Malaysia, bukan di luar negara.
Tunku Azizah sangat rasis
‘Guru tuisyen’ Bahasa Melayu paduka anakanda ‘berbangsa Cina’.
Tunku Azizah rasis sangat
Baginda setiap tahun mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dalam ‘bahasa Kantonis’ kepada rakan-rakannya.
Rasisnya Tunku Azizah
Baginda mengucap selamat sempena ‘Krismas’ kepada seluruh ‘warga Kristian’ di Malaysia
Tunku Azizah cukup rasis
Baginda menyingsing lengan memasakkan ‘mangsa banjir pelbagai kaum’ lauk-pauk yang enak. Santapan istana kepada rakyat jelata.
Masih dikira rasis
Tuanku berdua mencemar duli menghulurkan bantuan kepada ‘rakyat pelbagai kaum’ sekiranya disembah maklum tentang kemalangan dan bencana.
Rasis dua kali rasis
Pernah Tuanku secara buta-buta ‘menyokong seorang fakir Cina’ untuk menyertai Anugerah Integrasi Nasional.
Rasis punya rasis
Tuanku memang rasis
Berkenan mencemar duli ‘mengurniakan’ Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada ‘tokoh NGO berbangsa Cina’, Tan Sri Lee Lam Thye.
Terlupa pula saya nak jelaskan apa itu rasis untuk Tuanku?
R aja Permaisuri Agong
A dalah
S eorang
I nsan
S olehah.
-MT