Sarapan percuma hanya untuk pelajar kurang mampu- Tun M

0
77

CYBERJAYA – Kerajaan tetap akan meneruskan Program Sarapan Pagi (PSP) seperti yang dijadualkan bermula pada Isnin ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, ia hanya akan dikhususkan kepada pelajar yang tidak berkemampuan sahaja.

“Kita akan teruskan program yang ada sekarang kepada mereka yang tidak mampu, tapi nak bagi kepada semua bermakna mereka yang ada duit, kaya dan makan di rumah pun dapat juga. Itu tidak adil.

“Kita akan berikan kepada mereka yang layak,” katanya seperti dilaporkan portal berita Malaysia Gazette hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena Ulang Tahun Ke-70 TNB di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menjelaskan pelaksanaan PSP untuk murid sekolah rendah dibuat secara berfasa dengan tumpuan kepada sekolah yang merekodkan jumlah pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) tertinggi.

PSP merupakan program yang diperkenal oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan sebelum melepaskan jawatan pada 2 Januari lalu.

Dr. Mahathir memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lalu sehingga Menteri Pendidikan yang baharu dilantik.

Sebelum ini Maszlee berkata, PSP untuk murid sekolah rendah itu dilaksanakan menerusi dua mekanisme membabitkan peruntukan antara RM800 juta hingga RM1.67 bilion.

Katanya, dua mekanisme itu adalah pelaksanaan PSP selama 30 minit bagi kombinasi makanan bermasak dan buah-buahan serta 10 minit bagi produk minuman tenusu, bijirin, roti dan telur rebus.

Waktu pemberian sarapan adalah sebelum pukul 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan sebelum pukul 4 petang bagi sesi petang selain dijadualkan secara berperingkat mengikut kesesuaian sekolah.

Guru yang bertugas dalam tempoh PSP turut diberikan sarapan percuma supaya dapat makan bersama murid. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here