Sebanyak 923 pelajar ditawarkan memasuki MRSM Ulul Albab

0
908

Datuk Seri Rina Mohd. Harun

CYBERJAYA 6 Jan. – Sebanyak 923 pelajar tingkatan satu ditawarkan untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi mengikuti program Ulul Albab untuk sesi tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pelajar-pelajar tersebut akan ditempatkan di lima buah MRSM yang menyediakan program tersebut iaitu MRSM Kota Putra, Gemencheh, Kepala Batas, Sungai Besar dan Semporna.

“Sejak penubuhan program Ulul Albab, Mara telah berjaya melahirkan 2,067 orang huffaz. Bagi tahun 2019 sahaja, seramai 304 orang huffaz telah dilahirkan.

“Mereka inilah yang akan membuktikan bahawa kita berjaya melahirkan ahli profesional dan teknokrat yang mahir dalam bidang keagamaan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya sempena pendaftaran pelajar tingkatan satu di MRSM Sungai Besar.

Rina berkata, program tersebut yang menggabungkan akademik dan hafazan al-Quran berasaskan Pendidikan Islam bertujuan untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan bersahsiah tinggi ke arah mencapai matlamat negara maju.

Dalam pada itu, Rina berkata, sejak penubuhan program tersebut, Mara telah berjaya melahirkan sebanyak 2,067 orang huffaz yang mana bagi tahun lalu sahaja, seramai 304 orang huffaz telah dilahirkan.

Sementara itu, Rina berkata, Mara bakal menubuhkan sebanyak lapan buah lagi MRSM iaitu di Bera, Bagan Datoh, Ranau, Bintulu, Sik, Dungun, Tanah Merah dan Lawas termasuk dua buah MRSM yang akan dinaiktaraf.

“Kesemua lapan MRSM ini masih dalam pembinaan dan akan beroperasi bermula 2021 hingga 2024 yang mana ianya merupakan perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan anggaran kos perbelanjaan berjumlah RM863 juta untuk kesemuanya.

“Ini bererti menjelang 2024 jumlah MRSM seluruh negara adalah 61 buah kesemuanya. Ini jelas menunjukkan keperihatinan kerajaan pada masa ini dalam memartabatkan sistem pendidikan negara khususnya,” katanya.-#malakattribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here