CYBERJAYA – Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur mengalami kecederaan patah kiri akibat terkena runtuhan dinding ketika operasi memadam kebakaran di sebuah premis menjual alat ganti kereta di Segambut, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota tersebut, Chik Khu Muhammad Syahmi Chik Khu Omar, 28, kemudiannya terus dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan.
“Mangsa kini dipindahkan ke Hospital Ampang Puteri untuk rawatan susulan dan dilaporkan stabil, ” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengahari itu sebanyak 51 anggota bomba dari BBP Sentul, BBP Jinjang, BBP Titiwangsa, BBP Hang Tuah, BBP Taman Tun Dr Ismail dan BBP Jalan Tun Razak terlibat dalam operasi memadam kebakaran bangunan berkeluasan 6,000 kaki persegi itu.
Kebakaran itu kemudiannya berjaya dikawal pada pukul 12.50 tengah hari dan kemusnahan melibatkan 80 peratus bangunan namun tidak melibatkan mangsa dalam kalangan orang awam.-MT
