Seorang lagi warga China positif coronavirus

0
140

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat satu lagi kes positif 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan secara keseluruhan sebanyak lapan kes jangkitan virus tersebut berlaku di Malaysia setakat ini.

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, kes terbaharu yang dilaporkan positif di kalangan kontak rapat ini adalah merupakan isteri kepada kes 2019-nCoV yang dilaporkan di Johor, semalam.

Katanya, pesakit tersebut yang berusia 49 tahun dan merupakan warganegara China telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Permai, Johor dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan pada tahun ini sehingga hari ini adalah sebanyak lapan kes iaitu terdiri daripada tiga kes yang sebelum ini dilaporkan dalam kalangan kes pesakit di bawah siasatan (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan lima kes yang sebelum ini dalam kalangan kontak rapat.

Keadaan pesakit coronavirus di China

“Kesemua kes positif 2019-nCoV ini adalah terdiri daripada warganegara China, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, dari 10 Januari lalu sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes PUI bagi jangkitan 2019-nCoV adalah 94 orang di mana 48 orang adalah rakyat Malaysia, 43 orang warganegara China dan masing-masing seorang warganegara Jordon, Brazil dan Thailand.

Katanya, tiga kes telah disahkan positif 2019-nCoV, 84 kes negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan makmal.

“Seramai 32 orang kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV telah dikenal pasti dan diletakkan dibawah pemerhatian survelan.

“Daripada jumlah ini, seramai lima kes daripada kontak rapat ini telah disahkan positif jangkitan 2019-nCoV dan telah masukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh iaitu empat orang dan seorang di Hospital Permai,” ujarnya.

Selain itu, katanya, bagi memantapkan lagi aktiviti pengesanan kes yang disyaki, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan bekerjasama mengenal pasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari China.

Ujarnya, mereka yang telah dikenal pasti akan diletakkan di bawah pemantauan di rumah dan diberikan Kad Amaran Kesihatan yang mana sekiranya mereka menunjukkan gejala, pelajar atau pensyarah berkenaan akan dirujuk ke fasiliti kesihatan yang telah dikenal pasti dengan segera.

Sementara itu, katanya, satu Jawatankuasa Khas bagi Misi Bantuan Kemanusiaan yang diselaraskan oleh pihak agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama dengan Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan diaktifkan hari ini.

“Ia juga melibatkan agensi-agensi lain yang berkaitan serta syarikat penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk meneliti perkara-perkara berkenaan keperluan membawa balik rakyat Malaysia dan keluarga yang berada di wilayah Hubei, China.

“Satu jawatankuasa teknikal diwujudkan dibawah jawatankuasa khas ini bagi memperincikan pengurusan membawa balik rakyat Malaysia termasuk atur gerak misi bantuan pengurusan tersebut,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here