
CYBERJAYA – Satu klip video yang menunjukkan seorang pendakwah terkenal dari Palestin, Hajj Mahmoud Abd. Baqi atau lebih dikenali sebagai Abu Khattab meninggal dunia di Kuwait ketika sedang menyampaikan ceramah agama tular di media sosial apabila ramai menyifatkan kematiannya sangat dicemburui.
Video klip yang berdurasi 1.21 minit itu menunjukkan allahyarham sedang menyampaikan dakwah di hadapan berpuluh-puluh orang dan ketika tiba saat menyebut kalimah tiada tuhan melainkan Allah, allahyarham terus tidak sedarkan diri.
Difahamkan allahyarham yang berasal dari kawasan perkampungan Balaa di Tulkarm ketika itu sedang menyampaikan tazkirah agama dalam satu majlis perkahwinan.
Dalam pada itu, memetik laporan Palestine Today, Abd. Al-Baqi yang belajar undang-undang memperoleh ijazah sarjana dalam bidang pengajian Islam dari Universiti Kuwait dan kemudiannya menghabiskan masanya dalam kerja-kerja berkebajikan.
Kematiannya itu mendapat liputan meluas di Palestin dan Kuwait di atas kerja-kerja kebajikannya terutamanya dalam bidang zakat.
Malah, beliau juga dikagumi kerana menjadi salah seorang pengasas Jawatankuasa Zakat al-Othman yang juga merupakan satu-satunya jawatankuasa zakat di rantau Arab. -MT