Siapa sangka pengutip sampah jadi jutawan

0
1281

RAUDHAH CITY – Pernah mendengar nama Mohamad Azlan Abdullah @ Ali!, beliau adalah ikon usahawan muda bergelar jutawan yang meneraju syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn. Bhd.

Ramai yang bercakap mengenai kejayaan dan aset dimilikinya namun, jarang disingkapkan cerita serta detik permulaan dalam kehidupan yang menjadi titik tolak kedudukan beliau ketika ini.

Siapa sangka dahulunya lelaki ini pernah menyara diri dan keluarga menjadi pengutip sampah di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia ( TUDM) Gong Kedak dengan gaji hanya RM430 sebulan.

Kini rezekinya melimpah ruah, kehidupannya berubah 360 darjah dan menjadi jutawan muda dengan memiliki pelbagai aset hartanah bernilai tinggi serta terbaharu miliki koperasi sendiri.

Berkongsi kisah hidupnya, Mohamad Azlan berkata, beliau bukan seorang yang ‘cerdik’ dalam pendidikan dan sewaktu di sekolah sentiasa mengisi nombor akhir selepas peperiksaan.

“Saya dilahirkan dalam keluarga yang miskin dengan mempunyai 21 adik beradik. Kami bukanlah kaya, yuran sekolah saya pun PIBG yang bayarkan dan Alhamdulillah saya tamat tingkatan 5.

“Ayah pentingkan pendidikan kerana baginya pelajaran boleh merubah masa depan. Kami keluarga yang besar malah, ada orang kampung samakan ibu seperti ‘ibu kucing’ kerana punyai anak ramai.

“Saya mahu ubah nasib keluarga dan bekerja kutip sampah di kem TUDM. Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin seperti ayam, ikan dan sayur.

“Apa yang buat saya tersentak ialah pada satu hari melihat emak menangis selepas ada ulat sampah dalam baju uniform kerja, ia membuatkan saya mahu berubah nasib keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian kejayaan bersama lebih 900 peserta sempena Konvensyen Kewangan Keusahawanan Islam (KKKI) di Kompleks Brainy Bunch di sini hari ini.

Berkongsi lebih lanjut, beliau yang lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin berkata, ia membuatkan dirinya lebih bersemangat mencari jalan mengubah kehidupannya dan membayar semula ‘harga’ air mata ibunya itu.

“Saya masih ingat pada tahun 80- 90an, ketika dibuat bancian kami antara keluarga paling miskin dalam daerah Besut ketika itu. Saya dapat rasa realiti bagaimana peritnya hidup di lembah kemiskinan dengan adik- adik yang masih kecil.

“Ketika masih kecil, kami pernah kekurangan beras dan ibu saya mengambil keputusan masak bubur nasi untuk memastikan adik-beradik yang masih kecil dapat makan, ibu ambil satu cawan beras untuk dimasak bubur.

“Ibu kata, hari ini kita tidak boleh masak nasi kerana jika masak nasi ia tidak akan mencukupi untuk adik beradik yang masih kecil. Jadi jalan akhir, ibu buat bubur nasi dengan meletakkan air banyak dan sedikit gula untuk kami makan,” katanya.

Ceritanya lagi, bagi mengubah nasib keluarga dan mengikut kehendak ayah yang mahu saya utamakan pelajaran, beliau memasuki sebuah institut kemahiran di Banchok, Kelantan.

Katanya, ketika belajar beliau tidak goyang kaki dan menggunakan duit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menyewa tanah seluas 13 ekar untuk projek tanaman jagung.

“Pada masa itu, saya gagal dua kali, kali pertama mungkin saya tertipu dengan sebuah syarikat yang mengambil kesempatan dan kedua sebab tanaman ditimpa musibah bencana alam.

“Kali kedua itu saya guna modal jual motor dan selepas kejadian tersebut saya nekad. Saya jumpa ketua jabatan untuk berhenti belajar walaupun hanya tinggal dua bulan lagi, semua marah ketika itu termasuk keluarga.

“Saya balik kampung, ayah marah dengan keputusan yang saya buat sehingga beliau tidak benarkan saya tinggal di rumah. Sebelum keluar, ibu datang peluk saya dan berikan duit RM1.30,” katanya.

Berbekalkan RM1.30, doa ibu dan sekeping hati, Azlan Al Amin berkata, beliau meletakkan keegoan di depan cita-cita dan menanam kepercayaan bahawa langit sentiasa terbuka dan Allah sentiasa ada bersamanya.

“Ketika itu bulan Ramadan, saya singgah di sebuah wakaf di tepi sawah dan berbuka puasa dengan air mineral serta roti. Malam selepas terawih saya singgah di sebuah kedai yang gelap sambil kelaparan.

“Ketika itu saya berjumpa dengan Cikgu Halim Md. Saman dan beliau telah membuka jalan rezeki untuk saya dalam bidang hartanah. Pada mulanya ditawarkan gaji RM1,500 sebulan tapi saya tolak.

“Pada saya itu akan ‘membunuh’ cita-cita saya, dan saya meminta beliau membayar saya berdasarkan komisyen. Beliau bersetuju untuk membayar RM2,000 untuk setiap lot tanah yang saya jual.

Untuk pertama kali dalam hidup katanya, beliau berjaya menjual dua lot tanah dan mendapat komisen sebanyak RM4,000 dan siapa percaya dalam tempoh enam bulan berjaya meraih pendapatan lebih RM500,000.

Azhar Al Amin berkata, beliau menjadikan kemiskinan sebagai motivasi dan kekayaan sebagai inspirasi selain bersyukur serta berbuat segala kebajikan dengan hidup berbakti.

Ikon usahawan muda itu turut bersyukur apabila kisah pengalaman hidupnya yang berasal dari keluarga miskin tegar, namun kini bergelar jutawan menjadi inspirasi kepada orang lain selain turut dibukukan.

“Kita perlu sedar keberkatan, kesempitan atau kemurahan rezeki bergantung kepada hubungan kita dengan Allah. Jika kita ada masalah hubungan dengan Allah, rezeki akan sempit.

“Sebagai manusia, kita tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, namun Allah melihat bagaimana kita mengubah kesilapan serta mengatasi kelemahan itu dengan bertindak menjadi lebih baik serta memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang,” katanya

Menempuhi jatuh bangun dalam perniagaan, beliau dan syarikatnya kini berjaya menguasai hartanah di sekitar Terengganu dan Kelantan dengan pelbagai projek perumahan serta pembinaan bernilai ratusan juta ringgit.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here