[VIDEO] Tangani segera isu tulisan jawi

0
151

RAUDHAH CITY – Kerajaan digesa menangani segera isu tulisan jawi secara serius kerana ia merupakan isyarat kepada kerajaan tentang hubungan kaum di negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu menunjukkan manifestasi kegagalan sistem yang ada di Malaysia setakat ini dan sepatutnya tidak langsung menjadi isu.

Tangani segera isu tulisan jawi

Tambahnya, isu itu telah diperbesarkan sehingga ada pihak mengadakan demonstrasi dan kongres membantah pengajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah vernakular yang disifatkan tidak masuk akal.

“Kita tidak nampak isu itu perlu diperbesarkan. Ini kerana di sekolah ada pengajaran bahasa Jepun, Jerman dan Korea, tiada siapa bising pun.

“Biasanya mereka tidak menolak ilmu. Jadi, bila mereka menolak sesuatu ilmu maknanya ada tak kena atau mesej tidak baik yang semua kena lihat secara serius.

“Ini merupakan petanda yang cukup tidak baik dan mungkin segelintir orang Melayu serta pengguna Islam lemah dan tidak bersatu selain hanya bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Pasar Raya Malakat Mall di sini hari ini.

Hadir sama Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim; Pengerusi Eksekutif Setia Haruman, Ahmad Khalif Tan Sri Mustapha Kamal dan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Aminuddin Yahaya.

Tambah Nadzim, umat Islam dan Melayu menjadi lemah kerana tidak bersatu sekali gus diambil kesempatan pihak lain memainkan isu tersebut.

Katanya, umat Islam dan Melayu tidak mempunyai pilihan kecuali bersatu dengan mewujudkan kekuatan ekonomi.

“Jadi inilah tranksasinya apabila ada pasar raya seperti Malakat Mall. Kita yakin dan Insya-Allah dengan sokongan rakan-rakan ekosistem ekonomi Muslim akan berubah,” katanya.

Mengenai cadangan beberapa pihak supaya syarikat bukan Muslim menggunakan tulisan halal mengikut bahasa kaum masing-masing, Nadzim berkata, perkara itu memberi impak positif dalam kalangan pengguna Muslim.

“Usaha itu menyaksikan produk keluaran usahawan Muslim meningkat. Momentum yang kita harapkan dapat membantu membaiki semula ekonomi umat Islam secara keseluruhannya,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here