Tiada jangkitan coronavirus di Malaysia

0
97

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan mengesahkan empat pesakit yang disyaki dijangkiti wabak coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia bebas daripada mengalami wabak berbahaya itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil keputusan itu diperoleh selepas ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Kementerian Kesihatan mula mengambil langkah berjaga-jaga susulan penularan wabak coronavirus di China dan beberapa negara lain

“Tiga kes pertama telah menerima rawatan perubatan yang sewajarnya dan telah discaj daripada hospital. Kes keempat sedang menerima rawatan dan berada dalam keadaan yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kes pertama melibatkan seorang kanak-kanak lelaki warganegara Jordan berusia lima tahun yang bercuti bersama ibu bapanya di Sabah.

Katanya, ibu bapa pesakit tersebut merupakan penuntut PhD di Universiti Hua Zhong, Wuhan dan selepas disyaki dijangkiti wabak itu dia telah menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Tambahnya, kes kedua dan ketiga adalah masing melibatkan seorang lelaki dan wanita warganegara Malaysia dengan sejarah perjalanan terkini melawati negara China.

Alat ujian pengesanan wabak coronavirus diletakkan di pintu masuk utama negara

Berikutan itu, katanya, mereka telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan hasil keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV mendapati ia negatif.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, kes keempat melibatkan seorang remaja lelaki warganegara China berusia 16 tahun yang bercuti bersama keluarga di Sabah.

Katanya, selepas ujian pengesanan dijalankan mendapati pesakit berkenaan bebas daripada jangkitan wabak tersebut. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here