CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan jumlah individu yang dijangkiti wabak coronavirus di negara tersebut telah meningkat kepada tiga orang sehingga hari ini.

Memetik portal berita Channel News, perkara tersebut disahkan selepas hasil ujian yang dilakukan terhadap dua individu dari Wuhan, China didapati positif dijangkiti virus tersebut.
“Pesakit baharu yang berusia 37 tahun, merupakan anak lelaki kepada pesakit pertama yang turut disahkan positif coronavirus.
“Pesakit kedua yang disahkan positif virus sama pula adalah seorang wanita yang berusia 53 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura, Selasa lalu,” katanya.
Menurut laporan itu, wanita terbabit telah mendapatkan rawatan di Hospital Raffles selepas mengalami demam, batuk dan selsema.
Bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan mengenal pasti suspek positif virus itu semalam dan ditahan di Pusat Pencegahan Penyakit Berjangkit Negara.
Wabak penyakit tersebut yang pada asalnya menyerang penduduk di Wilayah Yuhan, China kemudiannya merebak ke beberapa negara lain termasuk Korea Selatan, Thailand dan terbaharu Singapura selepas pihak berkuasa negara itu mengesahkan seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan dijangkiti coronavirus, Isnin lalu.

Sehingga kini terdapat 44 kes yang disyaki dijangkiti wabak tersebut dilaporkan di Singapura melibatkan pesakit yang berusia antara setahun hingga 78 tahun.
Bagaimanapun, hasil ujian yang dilakukan terhadap semua pesakit itu mendapati 13 daripadanya adalah negatif.-MT