Tragedi politik Hakan Sukur, legenda bola kini pemandu Uber

0
366

CYBERJAYA – Hakan Sukur, satu nama yang pernah menggegarkan dunia 18 tahun lalu dan namanya meniti di bibir pencinta bola sepak ketika Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan.

Jika masih ingat, jaringan pantasnya seawal saat ke-11 permainan ketika menentang tuan rumah, Korea Selatan terus melonjakkan nama bekas pemain Inter Milan itu di hati peminatnya.

Sehingga sekarang, rekod itu gagal dipecahkan oleh mana-mana pemain dan Hakan Sukur masih bergelar seorang penjaring gol terpantas dalam sejarah kejohanan Piala Dunia.

Berlandaskan pencapaian itu, Sinar Harian melaporkan sudah pasti ramai merasakan Hakan Sukur kini terus diulit kehidupan serba mewah bersama keluarganya. Begitupun, langit tidak selalunya cerah.

Hidup sebagai pemain bola sepak, pasti ada pasang surutnya apatah lagi selepas mereka menggantung kasut. Zaman kegemilangan, kejatuhan pasti menghiasi warna-warni kehidupan mereka.

Bagaimanapun, kejatuhan legenda Turki ini luar biasa kisahnya. Digelar ‘Bull of the Bosphorus’ ketika zaman kegemilangannya, bekas bintang kelab Galatasaray itu bukan saja ‘dibuang negara’, malah kini terpaksa bekerja sebagai pemandu Uber di Amerika Syarikat.

“Tiada apa lagi yang tinggal pada saya, Erdogan (Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan) ambil semuanya. Hak saya untuk bebas, hak kebebasan bersuara dan hak bekerja,” katanya kepada akhbar Jerman, Welt am Sonntag.

Kenapa beliau menyebut nama Erdogan? Apakah kaitannya dengan Hakan Sukur? Mengapa Erdogan mengambil semuanya daripada Hakan Sukur? Ini kisahnya.

Selepas bersara, penjaring terbanyak Galatasaray itu bergelumang dalam dunia politik. Permulaannya baik apabila beliau memenangi satu kerusi Parlimen ketika bersama Erdogan dalam parti ‘Justice and Development’ pada tahun 2011.

Begitupun, hubungan baiknya bersama ilmuan Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen menyebabkan hubungannya dengan Erdogan semakin bermasalah.

Kemuncaknya, pada 15 Julai 2016 sekumpulan pecahan tentera cuba melakukan serangan ke atas Parlimen dan Istana Presiden Turki.

Sekurang-kurangnya 238 orang terbunuh dan hampir 2,200 cedera selepas orang ramai keluar ke jalanan untuk melumpuhkan kudeta tersebut. Tragedi itu membangkitkan amarah Erdogan.

Beliau menuduh Gulen dalangnya dan tanpa berselindung menggelar mereka yang bersekongkol sebagai ‘pengganas’, ‘pengkhianat’ dan Hakan Sukur ialah salah seorang daripadanya. Kesannya? Beliau dilarang kembali ke Turki.

“Tiada sesiapa dapat jelaskan peranan saya dalam insiden itu. Saya tidak pernah melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang. Saya bukan pengkhianat atau pengganas.

“Saya mungkin musuh kepada kerajaan ini tapi bukan musuh kepada Turki. Saya sayang negara saya. Selepas berpisah dengan Erdogan, saya mula menerima pelbagai ancaman.

“Kedai isteri saya diserang, anak saya juga diserang, ayah saya disumbat ke dalam penjara dan semua aset saya dibekukan,” katanya kepada akhbar Jerman itu.

Menurut Hakan Sukur, dia berpindah ke AS dan mengusahakan sebuah kafe di California tetapi, individu mencurigakan selalu datang ke kafe dan kini beliau memandu untuk Uber dan menjual buku.

Kesukaran hidup Hakan Sukur mungkin hanya bermula sejak kebelakangan ini kerana pada 2017, Anadolu Agency (agensi berita Turki) mendedahkan bekas bintang bola sepak itu hidup mewah, menginap di rumah berharga AS$3 juta (RM12.23 juta).

Bukan itu sahaja, beliau juga dilihat menaiki beberapa kereta mewah dan memiliki kafe di kawasan mewah di San Francisco seperti didedahkan wartawan agensi tersebut. Memasuki tahun 2020, kisahnya berbeza pula.

Berstatus pemain bintang suatu masa dahulu, tiada siapa menjangka hidup Hakan Sukur sesukar itu. Bersara, menjadi pengulas sukan dan kemudian terjun ke dunia politik, semuanya nampak indah dan berjalan lancar.

Namun usaha ‘menggulingkan’ Erdogan adalah permulaan kepada kejatuhan luar biasanya. Sekiranya usaha tersebut berjaya, mungkin lain kisahnya, namun setelah gagal ia memberi tamparan hebat kepada penyerang yang menjaringkan 51 gol untuk Turki itu.

Erdogan ternyata tidak main-main dalam isu tersebut. Ogos 2016, beliau mengeluarkan waran tangkap ke atas Fethullah Gulen berkaitan cubaan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Turki itu pada 15 Julai 2016.

Gulen menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan malah menuduh Erdogan yang merancang insiden tersebut dan kemudian meletakkan kesalahan kepada dirinya.

Selepas insiden berdarah itu, berpuluh ribu orang ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan Gulen manakala lebih 140,000 kakitangan kerajaan sama ada dipecat atau digantung kerja.

Erdogan tidak pernah berhenti. Februari tahun lalu, polis Turki melancarkan operasi memburu lebih 110 lagi individu, kebanyakannya tentera dipercayai ada kaitan dengan kumpulan yang didakwa terbabit dengan cubaan rampasan kuasa yang gagal pada 2016.

Meskipun dikecam hebat sekutu Barat dan pejuang hak asasi manusia, Turki menegaskan bahawa serbuan itu perlu dilakukan untuk menamatkan pengaruh Gulen di semua institusi dalam negara tersebut.

Nasib menimpa Hakan Sukur membuktikan kejatuhan karier sebagai pemain bola sepak profesional tidaklah seteruk jatuhnya karier seorang ahli politik. Lebih-lebih lagi ahli politik yang menentang kerajaan secara ekstrem

Status legenda seseorang itu juga tidak menjamin apa-apa. Anda mungkin dikenang kerana jasa anda namun seandainya melakukan kesalahan besar, jasa anda seolah-olah tiada nilainya lagi pada mata marhaen.

Mahu atau tidak, Hakan Sukur kini terpaksa melupakan kemewahan yang pernah dikecapinya. Dari kehidupan serba mewah, beliau kini perlu bertabah menempuhi hari-hari mendatang yang kian mencabar.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here