
RAUDHAH CITY 24 Dis. – Umat Islam khususnya di Malaysia diseru untuk mengukuhkan ekonomi ummah supaya dapat mewujudkan ekosistem berteraskan Islam sebenar tanpa perlu bergantung kepada sistem lain yang ada sekarang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim, untuk mencapai cita-cita tersebut setiap umat Islam perlu mempunyai keazaman yang tinggi dan berjuang secara berjemaah.

“Kita harus berusaha membina ekosistem Islam kita sendiri tanpa berasaskan mana-mana sistem pada hari ini.
“Sistemnya memang akan ambil masa yang panjang untuk dibina, maksud panjang bukan lima atau 10 tahun tetapi banyak kerja yang perlu dilakukan. Sebenarnya dua atau tiga tahun sudah boleh selesai, tiada masalah,” katanya ketika berucap dalam majlis latihan ESQ di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fadzil yang juga pengasas pusat beli belah Malakat Mall, gambaran mengenai tamadun Islam moden pernah ditayangkan dalam filem Abad 21 lakonan kumpulan nasyid terkenal Raihan sekitar awal tahun 2000.
Namun begitu, katanya, idea tersebut hanya dalam filem dan satu rancangan bersistematik perlu dilakukan untuk mencapai tahap Islam moden dan sebenar.

Dalam pada itu, beliau yang juga pengasas syarikat hartanah, Raudhah City turut menjelaskan mengenai harga rumah di Raudhah Ville yang dikritik kerana mahal.
“Projek, tanah dan pemaju ialah PKNS cuma mereka mengikut reka bentuk kita, mereka hendak untung bagi memberi subsidi untuk membina rumah Selangorku yang terletak berhadapan dengan projek Raudhah Ville ini.

“Rumah Selangorku ini yang mempunyai tiga bilik tidur dijual pada harga RM250,000 seunit, dan sudah pasti harga rumah kita lebih mahal sebab ia ‘landed’ dan harga di sekitar Cyberjaya memang macam itu. Kalau syarikat bangsa lain yang buat kita akan puji kata hebat dan sebagainya tetapi kalau Melayu buat, maka mulalah mereka mencari 1,001 sebab kenapa tidak perlu beli,” katanya.-#malakattribune