Wabak coronavirus: 4 kes disyaki berlaku di Malaysia

0
175


CYBERJAYA – Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan mengesahkan menerima laporan empat kes disyaki dijangkiti novel coronavirus (2019-nCoV) iaitu masing-masing dua di Sabah dan Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua suspek kes jangkitan penyakit tersebut telah dimasukkan ke wad pengasingan bagi membolehkan rawatan dan penyiasatan lanjut dijalankan.

Kakitangan kesihatan melakukan pemeriksaan kesihatan susulan terdapat jangkitan wabak coronavirus di Malaysia

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel milik tiga orang pesakit pertama didapati negatif bagi jangkitan 2019-nCoV.

“Merujuk kepada kes disyaki terbaru yang dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di Sabah semalam, pesakit itu berada dalam keadaan stabil. Sampel bagi kes-kes tersebut telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan. Keputusan ujian bakal diperolehi dalam masa yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sehubungan itu, Dr. Noor Hisham, menyarankan orang ramai yang ingin melawat ke Wuhan, China agar menangguhkan perjalanan mereka kecuali untuk urusan penting yang tidak boleh dielakkan. 

Seorang pesakit dibawa oleh kakitangan kesihatan untuk menerima rawatan

Pada masa sama, beliau juga menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan khususnya kepada  pengembara semasa berada di Wuhan dan selepas pulang ke Malaysia.

“Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu.

“Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala dan elakkan daripada melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan,” katanya. 

Sementara itu, beliau turut menasihatkan mereka yang mendapat sebarang tanda-tanda jatuh sakit seperti mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut segera mendapatkan rawatan.

Setakat ini beberapa kes jangkitan penyakit tersebut mula dikesan di luar Wuhan termasuk di Beijing, Shanghai dan Guangdong, selain Thailand, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat. 
Pihak berkuasa China mengesahkan 571 kes dan 17 kematian dicatatkan setakat semalam.

Dalam perkembangan lain, sebuah pasar makanan laut dan haiwan eksotik di Wuhan dipercayai menjadi punca wabak itu, manakala beberapa media antarabangsa melaporkan ia berkemungkinan tersebar kepada manusia daripada ular, yang turut dijual di pasar berkenaan.-MT

Gambar tular di media sosial yang menunjukkan seorang wanita di China memakan seekor kelawar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here