Wabak Coronavirus: Kementerian Kesihatan ambil langkah berjaga-jaga

0
96
Kakitangan Pejabat Kesihatan KLIA melakukan pemeriksaan terhadap pelancong yang memasuki Malaysia susulan penyebaran wabak Coronavirus di China

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan telah meningkatkan kawalan keselamatan dan mengaktifkan semua alat pengukur suhu badan manusia di pintu masuk utama antarabangsa susulan penyebaran wabak penyakit Novel Coronavirus di China yang telah meragut tiga nyawa setakat ini.

Pejabat Kesihatan KLIA mula mengaktifkan semua alat pengukur suhu susulan penyebaran wabak penyakit Novel Coronavirus di China

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, langkah itu penting sebagai usaha untuk mengawal dan memastikan negara selamat daripada wabak penyakit tersebut.

“Langkah persediaan kita di semua pintu masuk antarabangsa dan fasiliti kesihatan terutamanya di Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada peringkat berjaga-jaga susulan wabak penyakit ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Wabak penyakit Novel Coronavirus yang dikesan bermula di wilayah Wuhan telah merebak ke Beijing dan Shenzhen sehingga menyebabkan kerisauan kerajaan China berikutan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi.

Lebih membimbangkan apabila angka terkini yang dijangkiti penyakit itu ialah sebanyak 218 orang termasuk 14 kakitangan kesihatan yang merawat pesakit.

Selain itu, wabak itu juga dikesan di negara Asia lain iaitu Jepun, Korea Selatan dan Thailand dengan masing-masing mencatatkan sebanyak satu kes yang mana kesemua pesakit itu didapati pernah melawat wilayah Wuhan.

Wabak itu menimbulkan kebimbangan ramai kerana mempunyai ciri-ciri persamaan dengan wabak SARS yang telah membunuh 650 orang di China dan Hong Kong sekitar tahun 2002 hingga 2003.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here