Wartawan TV3 terima ugutan bunuh

0
157

CYBERJAYA 2 Jan. – Seorang wartawan TV3 menerima ugutan bunuh susulan laporan beliau berkenaan sebuah sekolah milik kerajaan negeri yang tiada bekalan elektrik dan air pada hari pertama persekolahan, semalam.

Memetik laporan portal Terengganu Today, Mohd Ishak Abdillah Ngah, ugutan tersebut diterima daripada indivisu yang tidak dikenali menerusi beberapa akaun Facebook.

Susulan ugutan itu, Mohd. Ishak telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, petang semalam.

Beliau memberitahu pejabatnya didatangi oleh seorang lelaki pada pukul 5.15 petang dan lelaki berusia 40-an itu telah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap laporan berita tersebut.

Laporan Mohd. Ishak berkenaan isu itu menjadi ‘panas’ apabila disiarkan melalui facebook Buletin TV3 pada pukul 9.50 pagi semalam mengenai rungutan ibu bapa murid terhadap masalah ketiadaan bekalan elektrik dan air di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam pada hari pertama persekolahan.

Sebahagian netizen menganggap laporan itu sebagai tidak benar, berunsur fitnah dan sebagai cuba mencemarkan imej kerajaan negeri Terengganu.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui masalah itu dan tindakan sedang diambil bagi menyelesaikan perkara itu, sambil menegaskan, sesi persekolahan tidak akan terganggu.

“Kita mengambil langkah supaya perkara seperti ini tidak berulang pada masa hadapan dengan kapasiti yang kita ada. Tiada siapa yang boleh kata mereka memerintah dengan sempurna tentu ada kelemahan-kelemahannya. Tapi kelemahan itu yang perlu penambahbaikan,” katanya, semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here