286,428 pembayar cukai tampil menerusi PKPS

0
228

KUALA LUMPUR – Seramai 286,428 pembayar cukai tampil menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela yang melibatkan jumlah cukai, cukai tambahan dan penalti sebanyak RM7.877bilion sejak dilancarkan 2018.

Ketua Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, program tersebut turut berjaya menarik seramai 11,176 pembayar cukai baharu ke dalam jaringan cukai agensi itu.

Tambah beliau, kejayaan LHDNM itu hasil daripada sokongan media kerana menyiarkan setiap perkhidmatan yang ditawarkan lebih dikenali dan menjadi pilihan masyarakat.

“LHDNM juga berjaya mengutip jumlah cukai langsung tertinggi dalam tahun 2019 sebanyak RM145.110 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM8.076 bilion atau 5.89 peratus berbanding rekod kutipan cukai langsung pada 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Apresiasi Media di sini hari ini yang dihadiri ketua-ketua pengarang media arus perdana, pengarang portal berita dan wartawan.

Portal Malakat Tribune diwakili pengarangnya, Mohd. Fairuz Yusof menerima cenderamata penghargaan daripada Sabin dalam majlis itu.

Dalam pada itu, Sabin berkata, pihaknya menyasarkan kutipan cukai berjumlah RM154.676 bilion yang ditetapkan oleh kerajaan tahun ini.

“LHDNM perlu sentiasa berada di hadapan dalam memastikan kesedaran cukai dapat ditingkatkan supaya hasil negara kekal mampan dan seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here