Ahli Parlimen PH calonkan Anwar PM ke-8

0
208
Majlis Presiden Pakatan Harapan

PETALING JAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan semua Ahli Parlimennya memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat Majlis Presiden PH yang merangkumi persetujuan semua suara ahli parti gabungannya.
“Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan.
“Sejak cubaan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan hujung minggu lalu, kami terus berusaha untuk mempertahankan mandat rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018.
“Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan secara pintu belakang,’’ katanya pada sidang media khas PH di Ibu Pejabat PKR di sini yang disusuli kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Majlis telah menjemput Tun Dr. Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat yang diadakan semalam namun tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri interim itu.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi memulihkan kerajaan Pakatan Harapan.
“Pakatan Harapan kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial. Kami tidak akan mengkhianati amanah ini,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here