Ahli Parlimen PKR, Amanah diserbu penyokong parti

0
135

KUALA LUMPUR – “Doakan yang terbaik untuk negara kita.”

Itu kenyataan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen daripada PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini hari ini.

Rombongan ahli Parlimen kedua-dua parti itu menghadap Seri Paduka untuk ditemubual berikutan krisis pergolakan politik yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Mereka mula memasuki istana kira-kira pukul 10.45 pagi dan keluar dua jam kemudian.

Ketika bas yang membawa rombongan keluar dari pintu istana, penyokong-penyokong PKR melaungkan reformasi dan hidup rakyat.

Antara ahli Parlimen yang keluar dari bas ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Ahli Parlmen dari Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya telah membuat keputusan ketika menghadap Seri Paduka.

“Kami telah buat keputusan atas nama Pakatan Harapan. Tunggulah keputusan itu. Kami telah tandatangan dan segalanya terserah kepada kebawah Duli Tuanku,” katanya di sini hari ini.

Selain itu ahli Parlimen daripada PKR, Fuziah Salleh berkata, beliau meminta rakyat Malaysia mendoakan terbaik untuk negara ini.

“Dengan keadaan panas, demi negara kita sesungguhnya kita doakan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya sambil enggan mendedahkan siapa calon Perdana Menteri yang akan dipilih apabila kerajaan Pusat dibentuk nanti. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here