Angka kematian cecah 6 orang, Iran laksana penutupan pusat pengajian

0
72

CYBERJAYA – Beberapa wilayah di Iran melaksanakan perintah penutupan sekolah, universiti dan pusat kebudayaan sebagai langkah kuarantin, dengan jumlah kematian akibat Covid-19 di negara tersebut kini mencecah enam orang.

Memetik portal al-Jazeera, Gabernor Markazi, Ali Aghazadeh berkata, mangsa keenam tersebut yang tinggal di bandar Arak, disahkan positif Covid-19.

Aghazadeh dalam temubualnya bersama agensi berita IRNA turut berkata, mangsa tersebut turut mempunyai masalah jantung.

Sementara itu, sebanyak 14 wilayah telah melaksanakan arahan penutupan sekolah, universiti dan institusi pengajian lain.

Wilayah-wilayah tersebut termasuk Qom, Markazi, Gilan, Ardabil, Kermanshah, Qazvin, Zanjan, Mazandaran, Golestan, Hamedan, Alborz, Semnan, Kurdistan dan ibu negara Iran, Tehran.

Setakat ini, sebanyak 28 kes positif dikesan di Iran, namun tidak dapat dipastikan samada kes maut keenam tersebut termasuk di dalam angka tersebut.

Setakat ini, kesemua mangsa maut difahamkan rakyat Iran, dan kematian ini merupakan jumlah yang tertinggi di luar Asia Pasifik.

Jangkitan wabak ini disahkan pada Rabu lalu apabila pegawai kerajaan mengesahkan dua mangsa maut di bandar Qom di selatan Tehran.

Kementerian Kesihatan Iran berkata, hampir kesemua kes yang disahkan positif melibatkan individu yang tinggal di Qom, dan mereka yang pernah melawat bandar tersebut baru-baru ini.

Pihak kerajaan masih menyiasat punca penyebaran wabak tersebut, namun seorang pegawai kesihatan yang enggan dinamakan berkata, ia mungkin berpunca daripada pekerja dari China yang baru pulang dari negaranya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here