Apa sudah jadi Tabung Haji?

0
328
Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

APA sudah jadi pada Tabung Haji? Ini persoalan yang sedang menjadi perbualan hangat dalam kalangan jutaan umat Islam tak kira di kedai-kedai kopi mahupun dalam media sosial. 

Selepas kontroversi ibadat haji diura-urakan perlu dilakukan secara istithaah atau mengikut kemampuan, kini timbul pula isu beberapa hotel di bawah Tabung Haji akan diberhentikan operasi berdasarkan satu surat bertarikh 17 Februari 2020 yang memaklumkan pemberhentian operasi beberapa hotel milik TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) di beberapa lokasi seluruh Malaysia.

Sehari selepas isu ini meletup, Tabung Haji hari ini dalam satu kenyataan bukan sahaja mengesahkan surat yang tular itu malah menyebut operasi hotel-hotel ini telah dipindah milik kepada syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, Urusharta  Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) untuk diuruskan oleh syarikat milik penuh UJSB, UJ Property Management Sdn. Bhd. (UJPM).

Menurut Tabung Haji, langkah ini seiring dengan keputusan kerajaan PH untuk menyelamat dan menstruktur semula operasi dan perniagaannya atas alasan berlaku penyelewengan oleh kerajaan terdahulu.

Disebabkan itu, sebanyak 29 aset berbentuk hartanah termasuk hotel, syarikat dan 106 sekuriti ekuiti domestik yang bernilai RM10 bilion dipindahkan kepada UJSB.

Syukur Alhamdulillah, sedikit sebanyak pengumuman ini boleh melegakan sedikit gundah gulana ribuan pekerja di hotel-hotel ini apabila kesemua mereka dijamin akan diserapkan semula. 

Cuma diharapkan kenyataan ini bukan sekadar satu wayang seperti yang berlaku terhadap syarikat-syarikat lain yang telah ditutup operasi atau diambil alih entiti lain, kemudiannya apabila hendak meneruskan operasi semula satu temuduga baharu dilakukan sehingga mengabaikan nasib pekerja sebelum ini. 

Di sebalik isu ini, satu isu yang turut menarik perhatian warga maya ialah perkongsian satu artikel daripada sebuah blog tanpa nama oleh Menteri Haji bagi menjawab isu ini. 

Antara alasan yang menimbulkan pertanyaan pelbagai pihak apabila penulis tanpa nama itu mendakwa kononnya hotel-hotel ini tidak menguntungkan dan merugikan.

Namun begitu, tidak sampai berapa jam artikel yang dikongsi ini telah dipadamkan daripada laman Facebook milik menteri berkenaan. Mungkin tidak tahan dikecam oleh warga maya.

Kritikan balas oleh bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang pernah menguruskan hal ehwal ibadat haji perlu diambil kira. Alasan bahawa hotel ini satu pelaburan merugikan perlu dikemukakan dengan alasan kukuh. Penyata kewangan hotel ini selama tujuh tahun perlu dibentangkan, jika rugi perlu dinyatakan sebabnya.

Ini kerana hotel-hotel di bawah Tabung Haji ini sangat popular sejak dibuka kira-kira tujuh tahun lalu.

Dalam erti kata lain, hotel-hotel ini bukan pelaburan merugikan jika dimanfaat secara sepenuhnya kerana lokasi hotel-hotel ini beroperasi berada dalam kawasan strategik.

Tambahan pula, jika ia satu aset merugikan tidak mungkin ada syarikat mahu mengambil alihnya. Sudah pasti hotel-hotel ini boleh buat duit dan jana keuntungan.

Suka atau tidak, institusi milik orang Islam ini memang sangat dekat dengan hati umat Islam, setiap perubahan yang hendak dilakukan mesti menjaga hati majoriti umat Islam walaupun perubahan yang hendak dilakukan melibatkan aset hartanah, bukan urusan mengerjakan haji.

Seperti yang semua sedia maklum, hotel di bawah Tabung Haji ini sebelum ini mengetengahkan konsep patuh syariah tanpa unsur syubahah yang sangat popular dalam kalangan umat Islam untuk menginap. 

Jika telah dipindahkan kepada pihak lain, mungkin jaminan seperti konsep patuh syariah mungkin ada dan mungkin tiada lagi bagi mengikut kesesuaian bisnes operasi bos baharu ini.

Tetapi di sebalik semua kontroversi yang berlaku ini, satu persoalan yang perlu pihak berkenaan dan Tabung Haji khususnya jawab adakah pengambilalihan ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 9.4 juta pendeposit Tabung Haji? Adakah keuntungan yang bakal dijana oleh entiti baharu ini bakal memberi pulangan dari segi dividen kepada semua pendeposit?

Jika ada maka satu jaminan perlu diberikan, kalau tiada bersedialah Tabung Haji dan pihak berkenaan menerima kecaman secara berterusan daripada orang ramai.

Kerana secara sifir mudah, jika tiada pelaburan maka daripada mana duit boleh diperoleh untuk menyediakan ‘bonus’ kepada pendeposit.

Tabung Haji bukan satu institusi silap mata yang petik sahaja duit sudah nampak di depan mata tetapi Tabung Haji merupakan satu institusi ekonomi umat Islam yang didirikan untuk menguatkan ekonomi ummah. 

Maka untuk memberi sesuatu pulangan kepada pelabur dan umat Islam secara keseluruhan Tabung Haji perlu kembali kepada matlamat asal penubuhan. Jadi, kepada Tabung Haji, kembalilah sebelum semuanya terlambat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here