Armada tegas tolak kerjasama dengan UMNO

0
79

PETALING JAYA- Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengambil ketetapan untuk mempertahankan pendirian berprinsip Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak akan bekerjasama dengan parti di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ini adalah kerana isu rasuah, salah guna kuasa dan kes rasuah yang berjalan di mahkamah membabitkan pimpinan tertinggi UMNO.

“Armada juga mengambil ketetapan untuk mempertahankan mandat diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Rakyat berkuasa dan sudah memilih kerajaan dan kita tidak membenarkan pencatur kuasa menentukan hala tuju negara,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat Armada di pejabat Bersatu di sini malam ini.

Syed Saddiq melalui laporan Berita Harian memaklumkan, pihaknya ingin memastikan bahawa apabila anak muda menyertai politik mereka ikhlas ingin membersihkan politik.

“Jangan hantar mesej buruk dan negatif sampai anak muda benci politik. Kita perlu pertahankan mandat ini dan mempertahankan prinsip Dr. Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan UMNO,” katanya.

Beliau turut menegaskan akan bersama-sama Dr Mahathir dalam isu ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here