Baiki van jenazah percuma di Azam Motor

0
692

BANTING – Bukan kejayaan di dunia sahaja dicari tetapi, keberkatan serta bekalan di akhirat juga menjadi keutamaan. Itu rahsia pemilik bengkel Azam Motor yang beroperasi di Banting, Selangor.

Bila sebut sahaja bengkel, mungkin ramai beranggapan bengkel tersebut dimiliki oleh golongan lelaki. Tetapi, kali ini jangan terperanjat kerana ia dimiliki oleh seorang wanita iaitu Mastinah Mohd. Sani.

Azam Motor yang beroperasi sejak 1990 kini boleh berbangga dengan kejayaan dikecapi hasil pengurusan cekap dan berwibawa seorang wanita namun, kejayaan itu bukan datang dengan mudah.

Bengkel itu dahulunya hanya kedai baiki kereta biasa dan sekarang telah menjadi pusat servis pelbagai perkhidmatan (one stop center) untuk semua jenis kenderaan dari sekecil motosikal ke lori seberat 18 tan.

Mastinah merangkap Pengurus Azam Motor berkata, bengkel berkenaan diuruskan oleh suaminya, Mispan Ribut pada awal penubuhan namun, pada 1993 beliau mengambil alih untuk penambahbaikan.

“Dahulu kami adalah kedai biasa sahaja, konsep perniagaan diubah sedikit demi sedikit sehingga sekarang menjadi ‘one stop center’ di Banting. Kami bukan terus berjaya, ada juga fasa jatuh bangun dalam arena ini.

“Sehingga sekarang, bengkel Azam Motor telah mempunyai kepakaran servis untuk segala kerosakan, perkhidmatan tayar, ketuk badan kenderaan, cat, tunda kenderaan, penyaman udara dan banyak lagi.

“Ketika ini, kami mempunyai cawangan di Salak Tinggi, Bandar Baru Bangi dan Sungai Petani, Kedah dengan jumlah pekerja seramai 65 orang (pengurusan dan operasi) termasuk dua orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Mengulas mengenai kejayaannya, Mastinah berkata, segala apa yang Azam Motor miliki hari ini adalah hasil daripada pengurusan baik dan juga kerjasama semua pekerja yang memberi komitmen 100 peratus.

Katanya, bagi menambah keberkatan, beliau juga menjalankan tangungjawab sosial korporat (CSR) dengan menawarkan perkhidmatan membaiki van jenazah milik semua masjid di Selangor secara percuma.

“Usaha ini adalah CSR pihak Azam Motor, semua van jenazah milik masjid di seluruh Selangor boleh datang untuk baiki segala kerosakan secara percuma di sini. Jika van itu tidak boleh bergerak kami ada khidmat tunda.

“Azam Motor juga boleh membantu urusan setiap van jenazah ini dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendapatkan cukai jalan percuma. Kita akan usaha permudahkan segala urusan berkaitan.

“Kami ada menawarkan khidmat cas bateri dan juga tampal tayar secara percuma. Untuk keselesaan pelanggan, kami juga sediakan bilik menunggu berhawa dingin lengkap dengan televisyen dan kerusi urut,” katanya.

Sementara itu katanya, antara rahsia lain kejayaannya ialah menjaga kebajikan setiap pekerja selain mewujudkan peraturan yang tidak membebankan sekali gus mewujudkan suasana harmoni dalam organisasi.

“Setiap bulan kami akan agihkan barangan keperluan kepada pekerja. Turut disediakan ialah insentif-insentif menarik termasuk faedah perubatan. Bila pekerja gembira, hasil kerja mereka juga adalah terbaik,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sasaran pada masa akan datang, Azam Motor berhasrat untuk membuka dua cawangan baharu iaitu di Hulu Selangor dan Kuala Selangor untuk memperluaskan lagi operasi syarikat.

“Saya juga menyasarkan untuk bekerjasama dengan Kolej Vokasional untuk memberikan kemahiran kepada pelajar-pelajar tahfiz dalam bidang automotif. Saya mahu mereka ini diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

“Kami juga sebenarnya telah diberikan pengiktirafan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk menawarkan, mentadbir dan mengekalkan mutu Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi latihan pekerjaan.

“Perancangan mereka selepas ini adalah ke arah 4S (service, sale, spare parts dan body paint services). Insya-Allah, saya berharap segala sasaran ini dapat dicapai nanti,” katanya.

Bengkel Azam Motor terletak di Lot 512, Jln Morib, Kanchong Darat, 42700 Banting, Kuala Langat Selangor dan dibuka enam hari seminggu kecuali Ahad dan waktu operasi pukul 8.30 pagi hingga 6 petang.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here