Balu terkejut terima RM67,500

0
178

CYBERJAYA- Seorang isteri yang diuji dengan kematian suami terkejut menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah RM67,500 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Norlaila Md. Duah, 54, dari Kampung Gong Bayor Besut, Terengganu memperoleh perlindungan manfaat takaful dan khairat kematian itu selepas suaminya, Allahyarham Roslan Mohd. Noor, 56, menabung dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) bermula April tahun lepas.

“Saya tahu dia buka akaun SSPN-i Plus untuk tiga anak kami kerana sedar manfaatnya selepas mendengar penerangan daripada PTPTN yang pergi ke sekolah dia dan ternyata pilihannya tepat.

“Selepas dia meninggal dunia saya pergi ke pejabat PTPTN dan dari situ, saya tahu ada manfaat takaful. Tak sangka, tiba-tiba duit masuk dalam akaun saya,” katanya selepas Majlis Taklimat SSPN dan Penyerahan Manfaat Takaful SSPN-i Plus dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut dan PTPTN Terengganu.

Menurut laporan Sinar Harian, penyerahan itu disempurnakan oleh Pengurus Besar PTPTN Terengganu, Azizah Nasik @ Abd Rashid di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut semalam.

Norlaila berkata, semua wang tersebut akan dimanfaat sepenuhnya demi pendidikan Alif Asyraf, 19, yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis dan Amar Azwar, 17 dan Aisya, 12 yang masih bersekolah.

Pada majlis sama, seorang guru, Jorafida Mohamed Zin, 47, yang kehilangan suami, Mohd Rizalman Rawi, 46, akibat penyakit darah tinggi pada 3 Julai 2019 lalu turut menerima khairat kematian berjumlah RM10,000.

Sementara itu Azizah berkata, beliau berharap lebih ramai masyarakat menyimpan dalam SSPN-i Plus.

“Produk SSPN-i Plus ini menawarkan enam pakej simpanan yang mempunyai perlindungan takaful yang komprehensif.

“SSPN-i Plus mengguna pakai konsep simpanan secara komitmen bulanan dan jumlah simpanan adalah bergantung kepada pakej yang dipilih serendah RM30 sebulan iaitu hanya RM1 sehari yang mampu dimiliki,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2019, PTPTN merekodkan pembukaan akaun SSPN-i Plus sebanyak 479,735 akaun dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM380.6 juta dengan manfaat perlindungan takaful sehingga RM22.2 bilion.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 4,237 tuntutan yang melibatkan pelbagai kes dengan amaun RM11.8 juta telah berjaya diselesaikan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here