Bell Popcorn: Sedar-sedar sudah habis

0
752

RAUDHAH CITY- Mencari popcorn caramel yang sekata, rangup, tidak manis dan ‘just nice’, cubalah Bell Popcorn iaitu produk keluaran 100 peratus Muslim yang kini menjadi sebutan ramai.

Pengasas Bell Popcorn, Firzah Puasa berkata, tahap penerimaan pelanggan sangat baik walaupun produk berkenaan baharu sahaja berada di pasaran iaitu sejak Januari tahun lalu.

Beliau berkata, rahsia keenakan Bell Popcorn adalah produk berkenaan dibuat secara ‘homemade’ dengan menggunakan resipi sendiri yang mementingkan kualiti untuk kepuasan pelanggan.

“Produk ini dihasilkan di kilang yang terletak di Pajam, Negeri Sembilan. Maklum balas pelanggan amat baik, mereka menyatakan produk ini caramelnya sekata, rangup dan tidak manis.

“Kami mempunyai kilang untuk proses produk ini dari A hingga Z, dengan kekuatan enam orang pekerja kami dapat menghasilkan 250 balang Bell Popcorn sehari.

“Buat masa ini, kami fokus kepada caramel kerana permintaan untuk bertih jagung jenis ini amat tinggi. Dalam masa sebulan kami mendapat tempahan kira-kira 7,000 balang,” katanya.

Menurut Firzah, beliau tidak menggunakan bahan pengawet untuk produknya itu dan antara bahan digunakan ialah bijirin jagung premium, campuran karamel dan minyak popping.

“Untuk produk ini, saya mempunyai seramai 60 pengedar di seluruh negara. Selain itu, kami juga pasarkan produk ini di sebuah pasar raya di Seremban, Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, kami akan meluaskan medium pemasaran pada 1 Mac ini apabila Bell Popcorn akan dipasarkan di Raudhah Grocer di pusat beli belah BMF pertama iaitu Malakat Mall,” katanya.

Selain itu katanya, setakat ini Bell Popcorn dijual dalam dua jenis balang iaitu balang seberat 330 gram yang berharga RM16 dan 500 gram RM19.

Mengulas penglibatan dalam dunia perniagaan, Firzah yang merupakan bekas pegawai pemasaran berkata, peluang menceburkan diri dalam perniagaan hadir awal tahun lalu.

“Sebenarnya ada individu yang bantu saya untuk terlibat dalam dunia perniagaan, atas nasihat beliau saya cuba buat produk ini. Selepas beberapa kali cuba, akhirnya berjaya.

“Selepas berjaya, saya berhenti kerja sebagai pegawai pemasaran dan memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan ini, Alhamdulillah, ia semakin berkembang dan diterima,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau juga membuka peluang kepada suri rumah, pekerja kerajaan atau swasta serta pelajar yang ingin menambah pendapatan sampingan dengan menjadi wakil pengedar Bell Popcorn.

“Untuk setiap pengedar, kami akan bantu dan memberi bimbingan terbaik sehingga anda berjaya sekali gus dapat meningkatkan pendapatan masing-masing ,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here