
CYBERJAYA – Benua Eropah merekodkan kematian pertama akibat Covid-19 apabila seorang lelaki warga China meninggal dunia di Perancis, kelmarin.
Menurut portal berita The Guardian, kematian lelaki berusia 80 tahun itu juga merupakan kematian pertama akibat jangkitan tersebut di luar benua Asia.
Lelaki berusia 80 tahun itu, yang sedang melancong di negara tersebut bersama anak perempuannya, dimasukkan ke hospital tiga minggu lalu selepas jatuh sakit.
Sementara itu, anak perempuannya yang berusia 50 tahun turut sedang dirawat akibat jangkitan yang sama dan keadaannya dilaporkan beransur pulih.
Pasangan bapa dan anak yang berasal dari wilayah Hubei, China itu merupakan antara 11 kes Covid-19 yang telah disahkan di Perancis.
Menurut Menteri Kesihatan Perancis, Agnès Buzyn semalam berkata, lelaki tersebut tiba di Perancis pada 16 Januari lalu dan dimasukkan ke hospital di mana dia dikuarantin sembilan hari kemudian.
“Lelaki itu meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru yang disebabkan oleh jangkitan Covid-19,” kata Buzyn.