Bersatu gabung dengan Pas, UMNO?

0
472

KUALA LUMPUR- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan akan mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan, malam ini.

Memetik laporan Berita Harian, pengumuman itu dijangka dibuat menerusi satu sidang akhbar, namun butiran mengenai lokasi dan masanya belum dimuktamadkan setakat ini.

Sumber dalaman memaklumkan, Presiden Bersatu itu akan diketengahkan sebagai Perdana Menteri kelapan bersandarkan sokongan daripada ‘Kumpulan Azmin’, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan gabungan Muafakat Nasional merangkumi UMNO dan Pas.

‘Kumpulan Azmin’ merujuk kepada kumpulan diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen lain daripada parti sama, antaranya bekas Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

Menerusi sokongan empat blok utama itu, sumber berkata, Bersatu akan memperoleh majoriti mudah 116 kerusi, sekali gus membolehkan mereka menubuhkan kerajaan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

“Sekarang ini wujud percanggahan pendirian dalam Bersatu antara Dr. Mahathir dan ‘kem’ Muhyiddin, justeru langkah seterusnya akan diumumkan malam ini, insyaAllah,” katanya hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Bersatu itu tiba di perkarangan Yayasan Al-Bukhary di sini pada pukul 9.10 pagi bagi mempengerusikan mesyuarat khas, membabitkan 25 lagi Ahli Parlimen parti berkenaan.

Ditanya nada suasana mesyuarat hampir dua jam itu, sumber memaklumkan ia berlaku dalam suasana tegang dengan menyaksikan Dr. Mahathir meninggalkan pertemuan separuh jalan.

“Tun hanya masuk sekejap dan tinggalkan mesyuarat disebabkan pendirian Bersatu untuk bekerjasama dengan Pas dan UMNO,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here