Bersatu umum pendirian parti malam ini

0
136
Kenderaan yang dinaiki Dr. Mahathir meninggalkan bangunan Yayasan al-Bukhary

KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengadakan satu sidang akhbar khas malam ini bagi menjelaskan pendirian mereka berhubung situasi politik semasa.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof selepas selesai menghadiri mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan al-Bukhary di sini sebentar tadi.

“Embargo (keputusan mesyuarat), tunggu malam ini,” katanya sambil tersenyum kepada pemberita ketika meninggalkan bangunan tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir dilihat meninggalkan bangunan tersebut pada pukul 3.25 petang dengan diiringi pasukan polis sambil melambai ke arah petugas media.

Difahamkan beliau akan ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) untuk menghadiri satu majlis pada pukul 3.30 petang hari ini.

Sementara itu, mesyuarat tersebut yang kali pertama dihadiri Dr. Mahathir selepas membuat keputusan untuk kembali menjadi Pengerusi Bersatu semalam turut dihadiri ahli Parlimen serpihan PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut kelihatan, ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Batu Pahat).

Petugas media difahamkan mesyuarat khas itu yang bermula pukul 10 pagi itu dipercayai membincangkan beberapa agenda, termasuk pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri dan cadangan mengetengahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here