Bersih 2.0 mahu Anwar sebagai TPM

0
140

KUALA LUMPUR – Bersih 2.0 mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Pertubuhan itu juga mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) baharu tersebut dibentuk daripada asas manifesto Buku Harapan dan tidak lagi tersasar.

Bersih 2.0 dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada Tun Mahathir berbanding satu lagi pilihan iaitu Datuk Seri Muhyiddin Yassin.

“Untuk meminimumkan ketidaktentuan, Bersih 2.0 mahu calon yang menggantikan Tun Mahathir iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana calon lain dipersetujui oleh Majlis Presiden PH terlebih dahulu dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri seperti dijanjikan dalam PRU 14,” katanya.

Bersih 2.0 juga menegaskan bahawa mandat rakyat dalam Pilihan raya Umum (PRU) 14 mesti dihormati dalam pembentukkan kerajaan untuk baki penggalnya.

“Pertama, mesti merupakan sebuah kerajaan PH yang berasaskan manifesto Buku Harapan kerana ia adalah mandat rakyat, ia juga boleh menjadi kerajaan PH dengan ahli-ahli baharu, parti atau ahli parlimen dengan syarat mereka perlu mematuhi manifesto berkenaan.

“Kedua, kemelut politik semenjak 23 Februari lalu disebabkan kekaburan dalam pelan peralihan kuasa. Masalah ini mesti dielakkan dengan adanya satu pelan peralihan kuasa yang jelas. Tempoh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri seharusnya berakhir pada bulan November 2020 sekurang-kurangnya dua minggu selepas sidang kemuncak APEC.

“Ketiganya, politik parti yang bertanggungjawab dan sihat mestilah dipupuk melalui reformasi bermakna dalam sistem pilihan raya dan sistem politik yang lebih luas supaya ada had penggal bagi Perdana Menteri dan pencairan (deconcentration) kuasanya, pemerkasaan Dewan Rakyat, gelanggang permainan yang rata untuk kesemua parti politik untuk bertanding dalam PRU 15,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan PH juga perlu mengakui kelemahan-kelemahan dalam melaksanakan agenda reformasi sepanjang 21 bulan lalu dan menumpukan fokus kepada tiga aspek iaitu;

Menjaga ekonomi apabila negara diancam wabak Covid-19 dan menghadapi perang dagang Amerika – China.

2- Mendalamkan reformasi institusi untuk memajukan kedaulatan undang-undang pentadbiran yang baik dan hak asasi manusia.

3- Memperbaiki hubungan antara kaum dan agama dengan mengurangkan kegelisahan dan kegusaran yang dirasai oleh Melayu-muslim dan juga komuniti-komuniti di Semenanjung Malaysia dan Sabah-Sarawak. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here