
CYBERJAYA- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin berhak menentukan bentuk dan cara mereka sendiri menyalurkan bantuan kepada penerimanya iaitu rakyat negara itu yang tertindas.
Ketua Komunikasi Korporat Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Nuh Izuddin Ibrahim berkata, sebagai NGO, mereka sudah memiliki kepakaran, malah sebahagiannya juga sudah diiktiraf kerajaan serta diakui di peringkat antarabangsa.
Nuh Izuddin berkata, misi bantuan digerakkan pelbagai NGO selama ini berjaya mengubah nasib rakyat Palestin yang secara berterusan ditindas regim Israel tanpa belas kasihan.
“Kami akan meneruskan modus operasi kami seperti yang kita sudah lihat. Hasilnya jelas hari ini, rakyat Palestin sudah mendapat manfaat kebajikan, pendidikan, perubatan, perumahan, ekonomi, agama dan keperluan harian.
“(Isu) Al-Aqsa bukan hanya kebimbangan kami tetapi juga hak dan kemanusiaan rakyat kamu. Apa gunanya sebuah negara tanpa orang?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali semalam mendedahkan kononnya sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid Al-Aqsa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.
Bagaimanapun dakwaan duta itu dinafikan sekeras-kerasnya pelbagai NGO yang terbabit dalam misi kemanusiaan di Palestin dengan sebahagian mereka menuntut permohonan maaf daripada Walid.
Mengulas lanjut, Nuh Izuddin berkata, kebanyakan NGO yang menjalankan misi bantuan bergerak dengan kumpulan mereka sendiri sama ada di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa tanpa terselindung dengan sebarang agenda politik.
“Cita-cita politik tidak mempengaruhi kami dalam usaha membantu orang yang tertindas. Malah kami memilih laluan kami, di kebanyakan bahagian, untuk mengelakkan menjadi sebahagian daripada sebab kegagalan kamu untuk bersatu sebagai sebuah negara.
“Ia mungkin sesuatu yang kamu boleh belajar bahawa pertikaian adalah halangan utama sejak berdekad lalu yang gagal di atasi pejabat (kedutaan) kamu. Untuk mengekalkan pandangan skismatik demi kuasa hanya menyebabkan kerugian kepada penerima manfaat kami iaitu rakyat kamu!,” katanya.-MT