Bijaksananya Agong kita!

0
203

KEMELUT politik negara hari ini memasuki episod baharu apabila Yang di-Pertuan Agong memanggil menghadap setiap ahli Parlimen daripada pembangkang dan kerajaan hari ini  dan esok susulan tindakan Tun Dr. Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri semalam.

Tindakan mengejut Dr. Mahathir itu bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya sendiri tetapi juga menyebabkan sebuah kerajaan runtuh dan jawatan menteri Kabinet terbubar secara automatik.

Situasi yang tidak pernah berlaku dalam negara ini bukan sahaja menarik minat rakyat pelbagai lapisan malah menjadikan Malaysia sebagai negara tumpuan dunia pada masa sekarang.

Buktinya, setiap lokasi yang menjadi tumpuan YB-YB ini dipenuhi puluhan dan mencapai ratusan petugas media daripada berpuluh-puluh media di Malaysia dan seluruh dunia. Masing-masing tidak mahu melepaskan menyaksikan peristiwa bersejarah yang berlaku dalam politik Malaysia.

Namun begitu, di sebalik langkah yang dimulakan oleh Dr. Mahathir, rakyat juga sedang memerhati dengan penuh minat gerak tari silat yang sedang disusun oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tindakan baginda yang mahu menemubual semua 222 ahli Parlimen merupakan satu tindakan yang sangat bijak dan adil kepada semua pihak terlibat.

Tanpa mahu menyebelahi mana-mana pihak yang sedang kemaruk kuasa, baginda menggunakan kebijaksanaan dan kewibawaannya untuk menyelesaikan masalah ini tanpa perlu mengheret sekali rakyat dan negara ke kancah bahaya.

Sekali imbas mungkin ramai yang pelik dengan tindakan Agong ini, namun begitu jika sesiapa masih ingat penyelesaian yang sama pernah diambil oleh Almarhun Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika menyelesaikan kemelut politik di Perak sedekad yang lalu.

Bagi meleraikan pertikaian siapa yang berhak mentadbir kerajaan negeri Perak disebabkan masing-masing mendakwa mereka mempunyai majoriti, Almarhum Sultan Perak telah memanggil 31 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghadap. Keputusannya, Almarhum Sultan Perak berpuas hati dengan jumlah majoriti sokongan yang diperoleh BN dan membolehkan kerajaan baharu ditubuhkan.

Cuma situasi politik kali ini berlaku di peringkat kerajaan Pusat dan impaknya lebih besar jika tidak ditangani dengan betul dan cepat. Langkah awal Agong melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim dan kemudiannya menemubual semua ahli Parlimen satu pendekatan yang tepat.

Untuk berlaku adil kepada semua pihak yang bertelagah, maka adalah lebih baik Agong sendiri yang membuat keputusan. Sama ada menyerahkan kuasa mentadbir kepada pihak yang mempunyai majoriti atau membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau mungkin mewujudkan sebuah majlis konsolidasi untuk menstabilkan semula suhu yang sangat panas ini.

Yang pasti rakyat tidak mahu terheret sama dengan isu perbalahan dalam dan luar parti politik terlibat. Rakyat sudah letih dan mahukan satu suasana yang aman dan stabil.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here