Dari kiri bas yang membawa ahli Parlimen BN, Pas diikuti PKR dan DAP memasuki Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -Gambar oleh FARID JANUDIN
ORANG ramai tertumpu sama ada depan televisyen atau media sosial melihat perkembangan politik sejak dua tiga hari ini.
Pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri mengejutkan negara malah seluruh dunia.
Tidak sampai satu penggal Pakatan Harapan mentadbir negara, suasana politik berubah sehingga rakyat sentiasa ternanti-nanti perkembangan apa yang akan berlaku selepas ini.
Langkah bijaksana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memanggil 222 ahli Parlimen untuk ditemubual untuk mendapatkan persetujuan pelantikan Perdana Menteri baharu bagi membentuk kerajaan.
Maka berbondong-bondonglah ahli-ahli Parlimen datang ke Istana Negara menghadap Seri Paduka.
Ada yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lebih menarik perhatian apabila bas jadi pilihan parti politik untuk ke istana.
Sejak hari pertama perkarangan Pintu 2 Istana Negara jadi pilihan pengamal media. Inilah satu-satunya laluan ahli-ahli Parlimen tidak kira dari Pakatan Harapan dan pembangkang keluar masuk di situ.
Yang menarik perhatian sekali apabila sekumpulan ahli Parlimen memilih bas untuk ke istana. Bermula dengan kumpulan ahli Parlimen BN dan Pas semalam, ia diikuti pula PKR dan DAP hari ini.
Uniknya, keadaan ini belum pernah berlaku dan boleh dianggap satu sejarah apabila parti politik memilih pengangkutan itu untuk pengangkutan utama.
Ada benar juga kenapa bas jadi plihan. Kalau bawa kenderaan sendiri lambat pula habisnya nanti.
Ditambah pula nanti diserbu pengamal media yang setia menanti jawapan apabila mereka selesai menghadap Seri Paduka.
Selama ini rakyat merasai menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja atau destinasi lain. Maka diharap ahli-ahli Parlimen merasai apa yang rakyat rasa selama ini.
Selamilah hati dan perasaan mereka. Jangan ‘dipekakkan’ telinga, ‘dibutakan’ mata apabila rakyat merintih. – MT