BN, Pas ‘satu bas’ menghadap Agong

0
117
Bas persiaran yang membawa ahli Parlimen BN dan Pas tiba di Istana Negara hari ini

KUALA LUMPUR – Kehadiran ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pas di Istana Negara hari ini menarik perhatian petugas media yang ‘berkampung’ sejak awal pagi lagi apabila tiba dengan menaiki dua buah bas persiaran.

Kumpulan ahli Parlimen daripada kedua-dua parti itu tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk ditemu bual susulan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri semalam sehingga menyebabkan suasana politik negara berada dalam keadaan tidak menentu.

Turut kelihatan menaiki bas berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Ahli Parlimen BN sempat melambai ke arah petugas media yang berkampung di Istana Negara.

Kesemua ahli Parlimen pembangkang itu yang berpakaian suit dan bersongkok tiba dengan diiringi polis trafik dan beberapa buah kenderaan lain kira-kira pukul 3 petang.

Semalam, seluruh negara terkejut apabila Dr. Mahathir bertindak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.

Susulan tindakan beliau itu, semua jawatan menteri Kabinet juga terbubar secara automatik.

Bagaimanapun, bagi mewujudkan kestabilan dalam negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik beliau kembali sebagai Perdana Menteri interim sehingga Perdana Menteri baharu dilantik mengikut lunas Perlembagaan.

Antara kenderaan yang turut tiba bagi mengiringi bas yang membawa ahli Parlimen BN dan Pas

Difahamkan Agong akan bertemu dengan ahli Parlimen pembangkang terlebih dahulu hari ini manakala esok dengan parti yang membentuk kerajaan dalam pilihan raya lalu. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here