ABDUL RAUF YUSOH
KUALA LUMPUR – “Buktikan Kerajaan Melaka Pimpinan Pakatan Harapan (PH) miliki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencukupi untuk kekal tadbir negeri itu.”
Itu gesaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Abdul Rauf Yusoh yang menyatakan sekiranya gagal berbuat demikian jentera pentadbiran kerajaan negeri itu tergantung ketika ini.
Memetik portal Malaysia Gazette, Abdul Rauf menjelaskan, pada masa sama Barisan Nasional bersedia membentuk kerajaan negeri sekiranya memiliki bukti majoriti kerusi DUN.
“Kami akan mengemukakan bukti kepada Yang di-Pertua (TYT) Negeri Melaka jika memiliki majoriti kerusi dalam masa terdekat.
“Jadi kami menyangkal dakwaan Kerajaan Melaka hari ini berfungsi seperti biasa sebaliknya mereka perlu menunjukkan kekuatan jumlah majoriti kerusi yang diperlukan untuk mentadbir,” katanya sebelum Mesyuarat Ketua-ketua Bahagian UMNO di lobi Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Abdul Rauf diminta mengulas dakwaan Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka yang menyatakan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpihak kepada kerajaan negeri itu masih kekal bersama PH.
Ini termasuk dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain ADUN PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Datuk Ginie Lim Swee Lin (Machap Jaya).
Semua ADUN berkenaan adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).