Bursa Malaysia dijangka diniagakan tidak menentu minggu depan

0
63

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka meneruskan aliran dagangan tidak menentu dengan kecenderungan menurun pada minggu depan di tengah-tengah kemelut politik yang belum ada sebarang kesudahan dalam landskap tempatan.

Seorang penganalisis berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras terendahnya sejak Disember 2011, dengan corak lemah muncul yang menandakan momentum menurun seterusnya.

“Ini disebabkan oleh paras aliran keluar asing yang tinggi serta pelabur runcit yang keluar dari pasaran. Tanpa sebarang dasar tempatan yang kukuh atau suasana politik kembali stabil, sukar bagi pasaran untuk melantun semula dalam tempoh terdekat ini,” katanya dipetik Bernama hari ini.

FBM KLCI ditutup minggu ini pada 1,482.64, turun 48.56 mata daripada paras penutup Jumaat minggu sebelumnya, ketika negara dikejutkan dengan peralihan politik pada minggu ini, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas 22 bulan memerintah.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, kabinet dibubarkan dan perdana menteri interim dilantik, sementara menunggu pembentukan kabinet baharu.

Bagi minggu yang akan datang, beliau berkata indeks utama dijangka diniagakan antara paras 1,460 hingga 1,500 dengan paras ketahanan pada 1,510 dan paras sokongan pendasar pada 1,450.

“Selain ketidakstabilan politik, pasaran juga akan dipengaruhi oleh musim keputusan korporat serta kajian semula Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE (WGBI) pada Mac.

“Jika dikeluarkan daripada senarai WGBI akan menyebabkan bursa tempatan hilang akses pasaran antarabangsanya,” katanya.

Pada Januari tahun ini, pegangan asing dalam pasaran bon Malaysia berjumlah kira-kira US$100 bilion sebelum kebimbangan Covid-19 serta krisis politik tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here